KUALA LUMPUR – Perdana Menteri India, Narendra Modi dan Datuk Seri Anwar Ibrahim sepakar menyeru agar pengeboman dan pembantaian oleh Israel terhadap Iran yang didukung Amerika Syarikat, dihentikan segera.
Kedua-dua pemimpin itu juga sepakat untuk menggembleng usaha bagi menjunjung suara damai, diplomasi dan dialog yang sihat.
“Saya telah berhubung dengan Menteri India Narendra Modi pada lewat petang tadi. Saya hargai ucapan beliau kepada keluarga dan rakyat Malaysia bersempena sambutan Aidilfitri Mubarak yang bakal tiba.
“Perbincangan kami bertumpu pada perkembangan mutakhir di Asia Barat yang kian memburuk, apatah lagi di bulan Ramadan yang sepatutnya menjadi medan damai dan ketenangan,” kata Anwar dalam satu hantaran di media sosial, malam ini.
Tambahnya, beliau dan rakan sejawatnya turut sepakat bahawa Malaysia dan India mesti berganding bahu memperkukuh suara kolektif di semua pentas antarabangsa, termasuk di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan BRICS.
Ini kerana kerjasama tersebut menjadi semakin mendesak tatkala dunia dirundung suasana ekonomi global yang kelam, termasuk memberi kesan kepada aspek keterjaminan makanan, ujarnya.
Menurut Anwar, Malaysia dan India akan terus memperkukuh iltizam demi keamanan sejagat. -MalaysiaGazette
















