Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff
Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff.

KUALA LUMPUR — Tindakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), M. Kulasegaran menghadiri Mahkamah Majistret Jawi, Pulau Pinang baru-baru ini terus mengundang persoalan apabila Pas Selangor mempersoalkan konsistensinya sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

Ketua Penerangan Pas Selangor, Dr Yusfarizal Yussoff berkata, kehadiran Kulasegaran ke kompleks mahkamah menimbulkan tanda tanya memandangkan beliau kini memegang portfolio berkaitan undang-undang.

“Kulasegaran sudah tidak lagi menjadi peguam kerana sudah jadi timbalan menteri. Kalau dia masih peguam, saya tidak akan persoalkan kerana peguam boleh mewakili anak guam, tidak kira apa pertuduhannya. Berilah kata-kata semangat apa pun,” katanya.

Beliau mengulas penjelasan Ahli Parlimen Ipoh Barat itu yang menyatakan kehadirannya sekadar singgah sebentar untuk bertemu Arun di Kompleks Mahkamah Jawi bukan memasuki bilik mahkamah.

“Saya singgah di mahkamah untuk bercakap dengan Arun mengenai kepercayaan terhadap proses undang-undang sementara beliau bersedia berdepan prosiding akan datang,” kata Kulasegaran.

Namun bagi Dr Yusfarizal, tindakan tersebut tetap menimbulkan persepsi awam apatah lagi melibatkan seorang timbalan menteri dengan portfolio undang-undang.

Beliau turut mengimbau penglibatan Kulasegaran dalam demonstrasi di hadapan Kedutaan United Kingdom pada 2007 bersama beberapa kelompok masyarakat India (HINDRAF) yang menuntut pampasan £2 trilion daripada Kerajaan British.

Ketika itu, Kulasegaran dilaporkan berkata: “Indians are treated like third-class citizens. The community has been suffering in silence for decades”.

Menurut Dr Yusfarizal, sehingga kini persoalan tentang pendirian sebenar Kulasegaran masih berlegar termasuk kontroversi sekitar 2018 apabila beliau didakwa membuat kenyataan bahawa Melayu adalah “pendatang” sebelum menafikan dan memohon maaf atas kenyataan yang didakwa dimanipulasikan.

“Tapi beliau bukan lagi peguam. Jadi, atas dasar apa beliau perlu berikan kata-kata semangat kepada Arun? Kenapa tidak berikan kata-kata semangat juga kepada Zamri Vinoth?” soalnya.

Beliau menegaskan, tindakan itu membawa mesej yang salah dan mempersoalkan apa sebenarnya yang ada dalam pemikiran Kulasegaran sejak 2007, lebih-lebih lagi dalam kapasiti beliau sebagai Timbalan Menteri Kerajaan Madani yang memegang portfolio undang-undang. — MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast