Noraini Ahmad.

KUALA LUMPUR – Malaysia berada pada landasan tepat untuk memperluas penguasaan pasaran dan memperkukuh kedudukan sebagai pemain utama dalam rantaian bekalan getah dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, ia susulan prestasi luar biasa industri getah negara yang mencatatkan pertumbuhan eksport kukuh sebanyak 13.7 peratus ke pasaran Amerika Selatan (AS) bagi Januari tahun ini.

Menurutnya, dengan permintaan global yang kekal tinggi terutama dalam sektor penjagaan kesihatan, Malaysia sedang mengukuhkan pengaruhnya melangkaui pasaran tradisional sedia ada.

“Nilai eksport produk getah Malaysia ke AS kini mencecah RM57.2 juta pada awal tahun ini, mencerminkan keberkesanan strategi pemasaran bersasar oleh Majlis Getah Malaysia (MRC).

“Pencapaian ini mencerminkan keberkesanan pendekatan strategik Kementerian Perladangan dan Komoditi dalam memperluas pasaran bukan tradisional serta memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pembekal global yang diyakini bagi produk getah berkualiti tinggi.

“Ini sekali gus membuktikan Malaysia bukan sekadar pengeluar tetapi peneraju global dalam industri getah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Noraini menambah, Malaysia tidak hanya mempertahankan pasaran sedia ada, malah sedang mengembangkan pengaruh ke pasaran baharu.

Ujarnya, selain AS, beberapa negara lain turut mencatat prestasi yang sungguh baik misalnya Argentina yang telah mencatatkan pertumbuhan paling ketara dengan lonjakan sebanyak 140.6 peratus kepada RM14.3 juta.

“Pertumbuhan ini didorong oleh peningkatan permintaan terhadap sarung tangan getah dan benang lateks selaras dengan pengembangan sektor penjagaan kesihatan negara tersebut,” katanya lagi.

Jelasnya, prestasi baik yang ditunjukkan juga terbukti apabila Colombia juga terus menunjukkan momentum positif dengan peningkatan sebanyak 31.8 peratus yang dipacu permintaan semakin meningkat bagi produk perubatan serta kelengkapan pelindung diri (PPE).

“Tidak hanya itu, Brazil juga kekal sebagai destinasi utama dengan sumbangan 43.8 peratus daripada keseluruhan eksport ke rantau berkenaan.

“Langkah Brazil menggantung tindakan antilambakan terhadap produk Malaysia pada Disember tahun lalu telah menjadi pemangkin besar.

“Kita bertindak pantas memanfaatkan peluang ini bagi memastikan industri getah kita terus berdaya tahan dan kompetitif di sebalik cabaran geopolitik dunia,” tambahnya.

Katanya lagi, pertumbuhan itu bukan sahaja meningkatkan hasil eksport negara, malah turut memberi limpahan manfaat kepada ratusan ribu pekebun kecil getah serta pemain industri tempatan yang menjadi tulang belakang kepada rantaian bekalan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast