MELAKA – Lelaki yang tular membelasah isteri sedang hamil sebelum melanggar kepala wanita itu dengan motosikal di hadapan sebuah premis hiburan keluarga di Kota Shahbandar, di sini Ahad lalu akhirnya diberkas polis pagi tadi.
Suspek berusia 22 tahun itu yang turut mempunyai rekod jenayah dadah ditahan kira-kira pukul 11 pagi di sebuah rumah di Taman Seri Kemendor, Jasin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata tangkapan dilakukan sepasukan pegawai dan anggota dari Cawangan D8 dan D11, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.
“Siasatan awal mendapati kejadian melibatkan seorang wanita berusia 20 tahun yang dipercayai dipukul oleh suaminya di hadapan premis hiburan keluarga di Kota Shahbandar.
“Suspek telah berjaya ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan serta Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan tampil menyalurkan maklumat kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Melaka Tengah atau mana-mana balai polis berhampiran.
“Orang ramai juga dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis,” tambahnya.
Isnin lalu, tular klip video berdurasi lebih satu minit menunjukkan perbuatan kejam suspek terhadap isterinya itu yang sempat dirakamkan amera litar tertutup (CCTV) premis berkenaan kira-kira jam 4 pagi.
Video menunjukkan suspek bertindak agresif dengan memukul, melempang serta menarik rambut mangsa sebelum melanggar kepala wanita itu menggunakan motosikal.
Akibatnya, mangsa mengalami kecederaan tisu lembut di bahagian kepala dan pipi kanan sebelum dibawa ambulans ke Zon Merah Hospital Melaka pada jam 4.41 pagi akibat kecederaan dialami.
Selepas menerima rawatan, mangsa dibawa pulang ke rumah oleh ibunya di Tanjung Minyak Perdana sebelum wanita itu membuat laporan polis untuk menyelamatkan anaknya itu. – MalaysiaGazette
















