Tamim Dahri

KUALA LUMPUR – Aktivis, Tamim Dahri Abdul Razak atau lebih dikenali Tamim Dahri sedia pulang ke Malaysia dan menyerah diri kepada polis dalam masa tedekat dengan syarat empat kuil yang didakwa tidak berdaftar dirobohkan.

Kuil-kuil yang dimaksudkan itu adalah kuil Atas Jalan Pandanmas; kuil Hospital Bukit Mertajam; kuil lama Seafield dan kuil Jakel.

“Kenapa empat lokasi ini? Yang itu semua boleh fikir sendiri,” seperti yang dinyatakan menerusi laman sosial Threads tanah.malaya hari ini.

Tangkap layar laman sosial Threads tanah.malaya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, polis sedang giat mengesan Tamim Dahri, 34, yang dipercayai berada di luar negara bagi membolehkan beliau dihadapkan ke mahkamah untuk pertuduhan merosakkan simbol suci Hindu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata hasil semakan mendapati aktivis itu dikesan ke Thailand dan dipercayai berada di Tanah suci ketika ini.

“Tindakan kita tuduh di mahkamah sudah dibuat dan apabila sampai masanya, kita akan ambil tindakan untuk hadap (bawa) beliau (ke mahkamah untuk pertuduhan),” kata Mohd Khalid ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini, hari ini.

Sebelum ini Mohd Khalid mengesahkan empat individu termasuk Penyelaras Himpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (GARAH), Zamri Vinoth dan aktivis, Arun Dorasamy, akan didakwa berkaitan kes provokasi agama.

Selain Zamri Vinoth dan Arun Dorasamy, dua lagi yang akan dituduh ialah Tamim Dahri dan P Mahendra Boopathy.

Tamim Dahri sepatutnya dituduh di Mahkamah Langkawi mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan Selasa lalu, kerana didakwa merosakkan objek soolam, simbol suci bagi penganut Hindu di tapak lama Kuil Sri Maha Muniswarar di Langkawi, Kedah.

Bagaimanapun, pertuduhan ke atasnya ditangguhkan kerana beliau berada di luar negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast