PEKAN – Lemang – hidangan tradisional berasaskan beras pulut dan santan yang dimasak dalam buluh berlapiskan daun pisang atau daun lerek lazimnya menjadi santapan wajib ketika Hari Raya Aidilfitri.
Sesuai dengan rasa enak, proses masakannya juga bukan mudah.
Melalui penyediaan secara tradisional, lemang biasanya dibakar menggunakan kayu dan memakan masa yang lama sehingga tujuh jam.
Namun, kini kaedah membakar lemang dalam tong dram yang telah diubah suai oleh peniaga yang mahu penjimatan masa tetapi pada masa sama masih mengekalkan rasa asli lemang.
Menurut Siti Esah Omar, 67, dia sebelum ini membakar lemang secara tradisional, tetapi sekarang memilih untuk membakar lemang dalam tong dram.

“Lemang bakar dalam tong dram ni sekejap saja dalam tiga jam, masaklah dia. Sebelum ni masa suami masih hidup, bolehlah cari kayu api nak bakar secara tradisonal.
“Selepas suami meninggal, saya ubah suai tong dram ni untuk bakar lemang. Lebih kurang sama saja rasanya. Tapi, mestilah lebih sedap yang bakar guna kayu, cuma cara ni lebih mudah sebab tak perlu nak berpanas depan api dan lebih cepat,” katanya yang mesra disapa mak long, ketika ditemui di rumahnya di Chini, di sini hari ini.
Mak Long berkata, tong dram tersebut boleh diisi sehingga 20 batang lemang dan dibakar dengan dapur gas pada kadar api sederhana.
Dia sering menerima tempahan lemang daripada komuniti setempat, namun terpaksa menolak kerana tidak sempat untuk memenuhi permintaan.
Sementara itu, peniaga lemang, Zulkifli Wazir, 45 pula berkata, dia masih mengekalkan lemang yang dibakar secara tradisional berbanding kaedah dalam tong dram kerana mahu mengekalkan kualiti rasa yang lebih autentik.
“Lemang dalam tong dram ni ada beberapa kategori. Ada yang bakar pakai arang. Kalau guna arang tu, mungkin kualiti dia sama dengan yang bakar guna kayu api.
“Tapi kalau pakai gas memasak tu, rasa dah lain. Lagipun, kalau bakar dalam kuantiti yang banyak memang tak sesuai,” katanya ketika ditemui di Kota Perdana, Muadzam Shah, di sini.

Bapa kepada enam orang anak itu berkata, dia memilih untuk membakar lemang menggunakan bara api kayu getah kering untuk mengekalkan rasa keaslian lemang terbabit.
Disebabkan minat mendalam terhadap hidangan turun temurun itu, Zulkifli atau mesra disapa Ali membuka perniagaan menjual lemang sejak lebih 20 tahun lepas semasa menetap di Paya Jaras, Kuala Selangor.
Sehingga ke hari ini, dia akan membakar lemang setiap hari untuk dijual dan mampu menjana pendapatan lumayan sepanjang Ramadan. – MalaysiaGazette
















