KUALA LUMPUR – Lebih ramai bekas pemimpin UMNO sama ada yang dipecat mahupun digantung dijangka kembali ke pangkuan parti Melayu itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) akan datang.
Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos berkata, kemasukan semula Khairy Jamaluddin Abu Bakar memberi signal jelas bahawa Rumah Bangsa boleh diterima semua pihak kerana tidak mengenakan syarat.
“Saya ucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden UMNO, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berjiwa besar dalam menerima balik bekas ahli untuk bersama-sama dalam perjuangan UMNO.
“Saya dapat lihat Presiden UMNO juga menerima kembali saudara Khairy masuk untuk bersama-sama dalam perjuangan UMNO tanpa syarat, ini adalah satu pertanda dan langkah yang cukup baik,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Isnin lalu, Khairy mengemukakan surat rayuan kepada Presiden UMNO dalam satu pertemuan bagi menyertai semula parti Melayu itu menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
Pada Januari 2023, UMNO memecat Khairy, selain menggantung keahlian bekas Ketua UMNO Bahagian Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan bekas Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.
Turut digantung keahlian ialah bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar sebelum dipecat daripada parti.
Dalam perkembangan sama, Jamal juga mengalu-alukan bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo untuk kembali ke pangkuan UMNO menerusi inisiatif Rumah Bangsa.
“Saya juga mengalu-alukan Dr Khir Toyo supaya dapat bersama-sama kembali di dalam UMNO tetapi bukan di Sungai Besar, mungkin boleh di Sarawak atau pun di Brunei.
“Jadi saya berharap Presiden UMNO dapat mempertimbangkan kembali dengan kemasukan Dr Khir Toyo di dalam UMNO bukan di dalam bahagian Sungai Besar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















