KUALA NERUS – Pusat Sukan dan Rekreasi (PSR), Pejabat Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Majlis Sukan Pelajar UMT menganjurkan Majlis Iftar Kasih bagi meraikan anak-anak yatim dan asnaf dari Sekolah Sukan Malaysia Terengganu sempena bulan Ramadan.
Program yang berlangsung dalam suasana penuh keberkatan itu bukan sahaja menghimpunkan warga universiti dan pelajar, malah menjadi platform memperkukuh hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti melalui aktiviti kebajikan serta perkongsian rezeki.
Majlis tersebut turut dihadiri Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UMT, Profesor Dr. Mohd Izani Mohd Zain, yang meluangkan masa menyantuni anak-anak yang diraikan serta menyampaikan sumbagan kepada mereka.
Menurut beliau, penganjuran program seumpama ini adalah selari dengan komitmen universiti dalam melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik dan sukan, tetapi juga memiliki nilai kemanusiaan, empati serta kepekaan terhadap keperluan masyarakat.
“Bulan Ramadan mengajar kita tentang nilai ihsan, kebersamaan dan keprihatinan. Program seperti ini memberi ruang kepada mahasiswa untuk mendekati masyarakat, sekali gus membentuk jati diri dan kepimpinan yang berteraskan nilai kemanusiaan,” katanya.
Menurut beliau lagi, penganjuran majlis ini juga secara tidak langsung membuka ruang kepada anak-anak yang diraikan untuk mengenali lebih dekat suasana kehidupan kampus di UMT, sekali gus memperkenalkan UMT sebagai salah satu destinasi pendidikan yang berpotensi untuk mereka melanjutkan pengajian pada masa hadapan.
Sepanjang majlis berlangsung, mahasiswa UMT bersama warga Pusat Sukan dan Rekreasi mengambil peluang berinteraksi serta menyantuni anak-anak yatim dan asnaf yang hadir, sekali gus mewujudkan suasana mesra dan penuh kasih sayang.
Casserena Osman, selaku pengarah program berkata, acaran ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan universiti dalam memperkasa budaya kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan mahasiswa, di samping
memperluas jaringan hubungan antara universiti dan komuniti setempat.
UMT melalui Pusat Sukan dan Rekreasi turut berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu inisiatif memperkukuh nilai ihsan, semangat kesukarelawanan serta tanggungjawab sosial dalam kalangan warga kampus. – MalaysiaGazette
















