GOMBAK – Peace, Dialogue, Xenophobia Studies Centre , Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (PEDIXS-UIAM) akan menganjurkan Persidangan Akademik Antara Tamadun 2026: IIUM–Oxford Dialogues pada 1 hingga 2 April ini di UIAM Kampus
Gombak.
Persidangan yang bertemakan “Islam, Diversity, and Transformation: Perspectives from the East and West” itu dijangka menghimpunkan sarjana terkemuka dari beberapa institusi akademik ternama dunia termasuk University of Oxford, Peking University dan Fudan University bagi membincangkan pelbagai isu global kontemporari dari perspektif Timur dan
Barat.
Program dua hari ini bertujuan memperkukuh wacana akademik dan dialog antara tamadun, khususnya dalam meneliti bagaimana perubahan landskap sosio-politik dan ekonomi global mempengaruhi amalan keagamaan, hubungan antara komuniti serta dinamika serantau di Asia Barat dan Asia Tenggara.
Persidangan ini turut menampilkan tujuh panel tematik yang merangkumi pelbagai bidang kajian termasuk Islam dan kepelbagaian, kebebasan akademik, transformasi sosial, fenomena Islamofobia dan Sinofobia, keadilan ekonomi, perubahan politik serta kesan perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan terhadap tamadun manusia.
Seramai 21 sarjana antarabangsa dijangka mengambil bahagian dalam persidangan berkenaan, termasuk pakar dari United Kingdom, China, Singapura dan Malaysia, bersama ahli akademik terkemuka UIAM.
Selain menjadi platform pertukaran pandangan ilmiah, persidangan itu juga dijangka membuka ruang kepada kerjasama penyelidikan antara institusi, di samping memperkukuh rangkaian akademik antara sarjana dari pelbagai latar belakang disiplin dan tamadun.
Menurut Rektor UIAM, Prof Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, penganjuran persidangan ini mencerminkan komitmen universiti dalam mempromosikan dialog intelektual yang konstruktif antara sarjana dari pelbagai tradisi pemikiran dan peradaban.
“Persidangan ini merupakan satu platform penting mempertemukan sarjana daripada pelbagai latar tamadun dan tradisi intelektual bagi membincangkan isu-isu global yang semakin kompleks dan mencabar,” katanya.
Beliau berkata, ketika dunia berhadapan dengan peningkatan polarisasi dan perbezaan pandangan, usaha memperkukuh dialog antara tamadun amat penting dalam membina persefahaman bersama serta memperkasa wacana ilmu yang bersifat inklusif dan beretika.
Kolaborasi bersama institusi akademik terkemuka dunia melalui penganjuran persidangan ini berpotensi menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi yang boleh menyumbang kepada perbincangan dasar berkaitan cabaran semasa yang dihadapi masyarakat Islam dan komuniti global.
“Melalui jaringan kerjasama akademik ini, UIAM berharap dapat memperkukuh hubungan strategik dengan institusi rakan antarabangsa serta menyumbang kepada pembangunan ilmu yang relevan dengan cabaran dunia semasa,” ujar Rektor UIAM.
Persidangan itu dijadualkan berakhir dengan majlis penutup yang akan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abdul Kadir, mewakili Perdana Menteri Malaysia.
Antara hasil yang dijangka daripada persidangan ini ialah pembangunan inisiatif penyelidikan bersama, program pertukaran akademik, penerbitan policy brief serta penerbitan buku atau jurnal khas yang menghimpunkan dapatan perbincangan dan analisis para sarjana yang terlibat.
Penganjuran persidangan ini juga mencerminkan komitmen berterusan UIAM dalam memperkasa kesarjanaan global, mempromosikan pertukaran intelektual serta meningkatkan kefahaman antara budaya dan tamadun dalam dunia yang semakin saling bergantung. – MalaysiaGazette
















