Umat Islam menziarahi pusara ahli keluarga selepas menunaikan solat sunat Aidilfitri pada hari raya pertama ketika tinjauan lensa MalaysiaGazette Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 31 MAC 2025.

Oleh: Ridzwan Ahmad

SAAT ketika jutaan umat Islam di Malaysia bersiap sedia untuk rutin ziarah kubur pagi raya esok, timbul satu persoalan besar: Adakah kita sekadar mengikut uruf yang kaku atau sedang melaksanakan sunnah yang hidup? Uruf atau tradisi ziarah kubur pada pagi raya sudah menjadi ‘rukun tidak rasmi’ sambutan di negara kita.

Saban tahun, tanah perkuburan menjadi pusat perhimpunan seolah-olah ia ritual wajib, sedangkan di satu sudut, sahabat-sahabat karib arwah ibu bapa kita yang masih hidup, yang memegang seribu satu memori dan rahsia kebaikan orang tua kita, langsung tidak kita jenguk.

Sudah tiba masanya kita melakukan anjakan uruf, daripada sekadar menziarahi yang mati, kepada menyantuni yang hidup demi menyambung keberkatan nasab. Kita sering mendengar kritikan daripada golongan yang berpegang teguh kepada hadis: “Janganlah kalian menjadikan kuburku sebagai tempat perayaan (Idan)…” (HR Abu Daud). Meskipun ziarah kubur itu sunnah secara umum, namun menjadikannya acara wajib yang bersifat ritualistik pada pagi raya sering mengundang tuduhan tasyabbuh (menyerupai) kaum Yahudi dan Nasrani yang memuja kubur nabi mereka.

Kritikan ini boleh dijawab dengan anjakan agenda terkini. Jika kita menambah agenda ziarah ke rumah sahabat arwah ibu bapa, elemen “menjadikan kubur sebagai tempat perayaan’ itu akan terhakis dengan sendirinya. Sejurus selepas menziarahi pusara kedua ibu bapa, ziarahi pula mana-mana sahabat keduanya yang masih hidup.

Justeru fokus raya akan kembali kepada fungsinya yang sebenar Silaturahim sesama insan yang masih hidup bukan hanya ziarah kubur kemudian pulang memenuhi agenda peribadi masing-masing. Perlu juga disedari bahawa bagi perantau yang hanya pulang setahun sekali, pagi raya mungkin satu-satunya waktu yang ada untuk menziarahi pusara ibu bapa yang tercinta.

Belum tentu di waktu lain mereka berkesempatan lagi lebih-lebih lagi yang tinggal di luar negara. Idea ini bukanlah satu bid’ah baharu, tetapi ia adalah menghidupkan semula sunnah yang disebut oleh Rasulullah SAW sebagai "Abarru al-birri" (sebaik-baik kebajikan). Dalam hal ini Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya kebajikan yang paling utama adalah seorang lelaki menyambung hubungan dengan orang yang dicintai (sahabat) ayahnya”. (HR Muslim: 2552). Begitu juga praktis Nabi SAW: Nabi SAW sering menyembelih kambing dan menghantar dagingnya kepada sahabat-sahabat arwah Saidatina Khadijah RA sebagai tanda memuliakan cinta dan kenangan bersama arwah (HR Bukhari: 3818).

Seterusnya amalan ini juga bersandarkan kisah Salafussoleh iaitu Abdullah bin Umar RA pernah memberikan serban dan keldainya kepada seorang Arab Badwi semata-mata kerana bapa lelaki itu adalah sahabat baik kepada bapanya, Umar bin al-Khattab. Memilih hari raya sebagai waktu ziarah adalah satu maslahah mursalah (kepentingan umum) dan uruf sahih kerana itulah waktu kelapangan masyarakat, bukannya satu rekaan ritual agama yang sesat. Hakikatnya ziarah sahabat bapa adalah
anjuran yang bersifat mutlaq (umum). Mengikut kaedah Usul al-Itlaq yajri ‘ala itlaqi, sesuatu yang umum kekal umum sehinggalah ada dalil melarangnya.

Mungkin ada yang mempertikaikan amalan ini kerana tidak pernah dilaksanakan oleh salafussoleh. Jika ia amalan terbaik mengapa merekatidak terlebih dahulu melaksanakannya di pagi raya. Jika kita merujuk kepada manhaj Imam al-Shatibi, ziarah ini mungkin dikategorikan sebagai bid’ah idhafiyyah dari sudut penentuan waktunya.

Walau bagaimanapun, ia tetap diharuskan atas dasar keumuman tuntutan silaturahim selagi mana kita tidak mempunyai I’tiqad (keyakinan) bahawa ziarah sahabat arwah pada pagi raya itu adalah suatu ‘sunnah khusus’yang ditetapkan oleh syariat atau dilakukan secara ritual oleh Nabi SAW pada tarikh tersebut. Kita melakukannya atas dasar Uruf dan Maslahah waktu—iaitu satu-satunya waktu kelapangan yang ada bagi masyarakat moden untuk melaksanakan perintah Sunnah Mutlaqah (menyantuni rakan ibu bapa).

Malah, jika kita melihat melalui lensa Sultanul Ulama al-Izz bin Abd al-Salam, amalan ini jatuh di bawah kategori Bid’ah Mandubah (bida’ah yang disunatkan). Mengapa? Kerana ia adalah satu perbuatan yang tidak wujud secara khusus pada zaman awal, tetapi ia memenuhi tuntutan kaedah syarak yang umum iaitu Ihsan dan Birr al-Walidain.

Kita tidak mencipta ritual agama yang baharu, tetapi kita sedang menguruskan sebuah Adat (Uruf) yang diisi dengan roh ibadah yang sahih. Adalah satu kesilapan besar jika kita terlalu kaku memegang zahir hadis sehingga membunuh maslahah dan memutuskan rantaian kasih sayang yang sepatutnya dihidupkan melalui Silat al-Wudd.

Mungkin ada yang bertanya, mengapakah kita perlu mengubah uruf atau adat yang sudah lama diamalkan? Di sinilah kita perlu melihat kepada sejarah perundangan Islam. Islam adalah agama yang meraikan perubahan zaman jika ia membawa kebaikan yang lebih besar. Sebagai contoh, kita boleh melihat qiyas pada hukum keizinan gadis untuk berkahwin.

Dahulu, dalam sebuah hadis Nabi SAW, dinyatakan tanda izin seorang anak gadis untuk dikahwinkan memadai dengan ‘diamnya’ kerana sifat malu yang tinggi pada zaman itu. Namun, ulama-ulama terkemudian melihat bahawa uruf telah berubah. Sifat malu gadis zaman sekarang tidak lagi sama dengan zaman dahulu. Maka, para ulama memutuskan ‘diam’ itu tidak lagi memadai sebagai tanda izin, sebaliknya keizinan mestilah dinyatakan secara lisan yang jelas.

Jika hukum yang bersandarkan hadis pun boleh berubah aplikasinya mengikut perubahan uruf masyarakat, maka apatah lagi adat ziarah kubur pagi raya. Kita mahu menukar uruf lama yang bersifat ritualistik kepada uruf baharu yang lebih ‘aslah’—iaitu ziarah yang membawa impak sosial yang nyata. Inilah yang dinamakan sebagai Ihsan Syarie, iaitu kita melakukan kebaikan yang melangkaui sekadar tuntutan adat demi mencapai matlamat agama yang lebih tinggi.

Bagi generasi muda yang mungkin merasa asing atau kekok untuk memulakan langkah ini, anda perlu menyedari kunjungan tersebut adalah satu bentuk bakti yang sangat mulia. Mulakanlah langkah dengan memperkenalkan identiti anda secara jelas di hadapan pintu rumah mereka, kerana kemungkinan besar mereka hanya mengenali wajah arwah ibu bapa anda tetapi tidak mengenali wajah anda. Dengan menyebut secara tertib bahawa anda adalah anak kepada sekian-sekian nama yang dahulu merupakan teman akrab mereka, anda sebenarnya sedang membuka kunci pintu hati dan memori mereka.

Janganlah merasa risau sekiranya anda tidak mempunyai banyak topik untuk dibicarakan, kerana kehadiran anda sebagai ‘bayangan’ kepada arwah ibu bapa sudah cukup memadai. Anda boleh hadir sebagai pendengar yang setia dengan bertanya mengenai kisah-kisah lama atau jasa kebaikan yang pernah dikongsikan oleh arwah bersama mereka suatu ketika dahulu.

Selain itu, penggunaan media bantuan seperti gambar-gambar lama yang tersimpan dalam album keluarga boleh dijadikan sebagai jambatan komunikasi yang sangat efektif. Menunjukkan gambar arwah ayah atau ibu sedang tersenyum bersama mereka bukan sahaja akan memecahkan suasana kekok, malah ia akan mencetuskan rasa hiba dan kasih sayang yang mendalam.

Langkah sebegini membuktikan bahawa anda bukan sahaja menghormati mereka, tetapi anda juga sedang memuliakan wasiat dan persahabatan yang pernah dibina oleh orang tua’ wajib setiap kali Syawal menjelang, supaya rantaian kasih sayang ini tidak putus begitu sahaja dan nilai-nilai murni dalam keluarga anda terus subur merentas generasi.

Jangan biarkan pagi raya kita berakhir di celah batu nisan. Kubur adalah untuk ibrah (pengajaran), tetapi rumah sahabat arwah ibu bapa adalah tempat untuk menanam ihsan. Dengan menyantuni mereka, kita memanjangkan ‘umur kebaikan’ orang tua kita. Inilah cara paling cerdik menepis tuduhan bid’ah—iaitu dengan memenuhi ruang masa raya kita dengan amalan yang jelas jalan dan wasilahnya serta besar pahala dan manfatnya.

Penulis dari Jabatan Fiqh-Usul Dan Sains Gunaan
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast