Rosinah (kiri) bersama anaknya Aidil Mastura Ismail serta Fadzli Asyraf menujukkan bunga serta air cendana yang dibuat khas untuk dijual kepada orang ramai yang menziarah kubur di Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Suasana Aidilfitri di kawasan Tanah Perkuburan Masjid Jamek Hashim Yahaya di Jalan Perak di sini, meriah dengan kehadiran orang ramai yang menziarahi pusara ahli keluarga, sekali gus memberi rezeki kepada peniaga bunga dan air mawar.

Bagi peniaga, Rosinah Md Hassan, 50, kehadiran pengunjung memuncak seawal pagi Aidilfitri, khususnya selepas solat sunat hari raya apabila orang ramai singgah membeli keperluan ziarah.

“Biasanya waktu paling ramai lepas solat sunat Aidilfitri. Orang datang beli bunga dan air mawar sebelum masuk kubur,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette.

Menurutnya, suasana sibuk itu sebenarnya sudah bermula lebih awal apabila orang ramai mula memenuhi kawasan berkenaan sejak Khamis, berikutan ada yang menyangka Aidilfitri jatuh pada Jumaat.

“Sejak Khamis lagi orang dah ramai sebab ada yang ingat Jumaat raya. Malah, malam raya kami niaga 24 jam sebab orang ziarah kubur sampai jam 12 tengah malam hingga 1 pagi,” katanya.

Rosinah menunjukkan beberapa jenis bunga yang akan dicampur untuk dijual kepada orang ramai pada harga RM5 sebungkus.

Beliau berkata, perniagaan yang diusahakan itu sudah masuk generasi keempat keluarganya dan menjadi antara lokasi tetap pengunjung setiap kali musim perayaan.

“Memang orang tahu tempat ini. Bukan setakat yang nak ke kubur sini sahaja, yang nak ke kubur lain pun singgah beli,” katanya.

Rosinah berkata, pada hari pertama Aidilfitri, mereka mampu menjual sehingga 10 kotak bunga dengan setiap kotak seberat 17 kilogram.

“Air mawar kami jual RM3 sebotol, air cendana RM4. Setiap hari kami sediakan kira-kira 1,000 botol dari Rabu sampai raya kedua,” katanya.

Beliau turut menawarkan bunga rampai pada harga RM5 sebungkus yang mengandungi bunga ros dari Cameron Highlands, bunga ubi yang dileraikan, daun pandan serta bunga kekwa.

“Selain itu, bunga segar yang digubah khas turut dijual pada harga RM10 setiap satu dengan kira-kira 100 gubahan disediakan setiap hari dan kebiasaannya habis terjual,” katanya sambil menambah setiap tahun terpaksa mengambil cuti selama seminggu sebagai petugas di Hospital Pulau Pinang. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast