Chow Kon Yeow.

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow membidas Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong supaya membuat ‘kerja rumah’ terlebih dahulu sebelum mengkritik pelaksanaan kadar cukai tanah baharu di negeri ini.

Beliau berkata, kritikan yang dibuat berhubung isu berkenaan tidak mengambil kira penjelasan yang telah diberikan sebelum ini, termasuk dalam siri sidang media dan kenyataan rasmi berkaitan pelaksanaan tersebut.

“Kes-kes yang dikemukakan merujuk kepada tanah hak milik First Grade yang tidak mempunyai kategori dan syarat nyata, sekali gus menyukarkan pengenaan kadar cukai berdasarkan syarat khusus.

“Semua penjelasan telah diberikan sebelum ini, namun ia seolah-olah tidak diambil kira,” katanya dalam satu kenyataan bagi menjawab kenyataan Wee Ka Siong bertarikh 18 Mac lalu yang meminta kerajaan negeri membatalkan pelaksanaan kadar cukai berkenaan.

Kon Yeow berkata, sebagai mekanisme kawalan paling efektif bagi mengekang kenaikan kadar cukai untuk tempoh 10 tahun atau lebih, kerajaan negeri telah memperkenalkan rebat 50 peratus serta tujuh penambahbaikan hasil maklum balas awam.

Beliau menjelaskan, kadar cukai industri di Pulau Pinang pada 2026 ditetapkan pada RM3.25 per meter persegi, berbanding kadar tahun 1994 iaitu RM1.08 di kawasan desa dan RM1.29 di bandar, dan ia masih kompetitif berbanding negeri lain.

“Wilayah Persekutuan mengenakan kadar antara RM1.74 hingga RM3.80 per meter persegi sejak 2006, manakala Selangor antara RM2.46 hingga RM2.73 per meter persegi di bandar sejak 2003, dan Melaka pula menetapkan kadar antara RM204 hingga RM408 bagi setiap 100 meter persegi pada 2024.

“Kadar cukai kediaman di Pulau Pinang selepas semakan juga tidak jauh berbeza dengan negeri lain, iaitu RM70 bagi setiap 100 meter persegi di bandar dan RM50 di desa.

“Selangor mengenakan kadar antara RM39 hingga RM53 bagi setiap lot, manakala Wilayah Persekutuan mengenakan kadar antara RM0.33 hingga RM0.72 per meter persegi,” katanya.

Tambah beliau, Pulau Pinang mempunyai kira-kira 300,000 hak milik strata hanya mengenakan kadar minimum antara RM25 hingga RM54 bagi unit seluas 100 meter persegi.

“Kenaikan kadar cukai perniagaan juga kurang daripada 100 peratus berbanding tahun 1994 dan berada pada tahap hampir sama dengan negeri maju lain.

“Perbandingan kadar cukai antara negeri tidak dapat memberi gambaran jelas kerana berbeza dari segi tahun dan kekerapan semakan.

“Adalah tidak tepat untuk membandingkan semakan cukai Pulau Pinang pada 2026 dengan kadar negeri lain yang dibuat pada tahun berbeza seperti Selangor (2003), Wilayah Persekutuan (2006) dan Johor (2019),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast