NIBONG TEBAL – Kebakaran melibatkan timbunan sampah di tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung di sini, yang dilaporkan awal pagi tadi berjaya dikawal sepenuhnya.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi JBPM Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, operasi pemadaman telah dibahagikan kepada dua sektor iaitu sektor A dan sektor B bagi mengawal kebakaran daripada terus merebak.
Katanya, sebanyak lapan aliran pancutan digunakan iaitu empat di setiap sektor bagi mengekang api daripada merebak ke kawasan lain.
“Operasi turut dibantu BBP Sungai Bakap, Jalan Perak, Bayan Baru dan Bandar Perda selain Pasukan Bomba Sukarela (PBS) serta pihak Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
“Selain itu, dua unit jengkaut digunakan bagi memunggar sisa pepejal untuk memudahkan pemadaman secara direct attack serta membina fire break.
“Api dipadamkan sepenuhnya pukul 5.13 petang sebelum kerja-kerja overhaul diteruskan bagi memastikan tiada punca api yang boleh menyebabkan kebakaran berulang dan operasi ditamatkan sepenuhnya pukul 5.55 petang,” katanya hari ini.
Tambah beliau. seramai 24 anggota termasuk penyelia terlibat dalam operasi berkenaan dengan bantuan pelbagai jentera serta agensi luar termasuk Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Terdahulu media melaporkan kebakaran timbunan sampah di tapak pelupusan sisa pepejal di Pulau Burung di sini, awal pagi tadi masih belum dapat dikawal sepenuhnya sehingga kini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.40 pagi itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang menerima panggilan kecemasan sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal dan Sungai Bakap digerakkan ke lokasi. – MalaysiaGazette
















