Gelagat anak jati Kampung Sungai Kandis berarak menziarahi dari rumah ke rumah sambil melaungkan takbir raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut esok pada Program Bara’an Takbir Malam Raya di perkarangan Masjid Al-Muhsinin, Klang, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 Mac 2026.

SHAH ALAM – Baraan atau aktiviti ziarah secara beramai-ramai dari rumah ke rumah sambil bertakbir tidak asing buat masyarakat Jawa di negara ini yang menjadi tradisi sejak turun-temurun setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Tradisi itu masih boleh dirasai di Kampung Sungai Kandis, Seksyen 30, di sini bukan sahaja berarak mengelilingi kawasan kampung tradisi itu sejauh kira-kira empat kilometer, bahkan setiap peserta membawa obor untuk menghidupkan suasana.

Ketua Penerangan Persatuan Anak Jati Kampung Sungai Kandis (PAJKSK), Mohd Zulhusni Mohd Noh bercakap pada sidang media selepas menyertai Program Bara’an Takbir Malam Raya di perkarangan Masjid Al-Muhsinin, Klang, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 Mac 2026.

Ketua Penerangan Persatuan Anak Jati Kampung Sungai Kandis (PAJKSK), Mohd Zulhusni Mohd Noh berkata, baraan anjuran pihaknya merupakan julung kali diadakan bagi meneruskan tradisi itu sejak lebih 10 tahun itu.

“Rasanya sudah 11 tahun kita melakukan program hari ini untuk menyambut kemenangan bulan Ramadan bagi penduduk Kampung Sungai Kandis.

“Malah aktiviti seperti ini disunatkan oleh Nabi Muhammad SAW,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pekarangan Masjid Al-Muhsinin, Kampung Sungai Kandis, di sini, malam tadi.

Anak jati Kampung Sungai Kandis berarak menziarahi rumah ke rumah sambil melaungkan takbir raya sempena Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut esok pada Program Bara’an Takbir Malam Raya di Perkarangan Masjid Al-Muhsinin, Klang, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 MAC 2026

Zulhusni juga berkata, baraan pada malam tadi disertai lebih 700 individu dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk kanak-kanak dan warga emas yang kebanyakannya penduduk asal kampung tersebut.

“Acara tahunan umat Islam itu turut menjadi tarikan pengunjung dari luar kawasan itu untuk turut serta berarak mengelilingi kampung tradisi ini,” katanya.

Gelagat anak jati Kampung Sungai Kandis berarak menziarahi dari rumah ke rumah sambil melaungkan takbir raya sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut esok pada Program Bara’an Takbir Malam Raya di perkarangan Masjid Al-Muhsinin, Klang, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 Mac 2026.

Selain itu, katanya, baraan kali ini lebih meriah berbanding tahun-tahun sebelum ini dengan letupan mercun dan percikan bunga api yang dimainkan penduduk setempat di setiap lorong dan tempat persinggahan rombongan itu.

“Penduduk kampung mengambil inisiatif sendiri membakar mercun di sepanjang laluan kami, sampai suara takbir pun hampir tidak kedengaran kerana letupan mercun dimainkan berterusan hampir dua jam,” katanya.

Anak jati Kampung Sungai Kandis menyalakan obor pada Program Bara’an Takbir Malam Raya di Perkarangan Masjid Al-Muhsinin, Klang, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 20 MAC 2026

Katanya lagi, beliau berharap tradisi kunjung-mengunjung itu dapat diteruskan sampai bila-bila dan penyertaan dalam kalangan anak muda sekali gus dapat menyemai budaya itu dalam generasi akan datang.

“Teruskanlah program seperti ini andai kata kami satu hari lagi tak ada tapi saya harap program seperti ini dilanjutkan hingga bila-bila.

“Saya berharap kampung Sungai Kandis dijadikan sebagai kampung tradisi yang bersatu hati dan masih mengekalkan keaslian tradisi dan budaya masyarakatnya yang bersatu padu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast