KUALA LUMPUR – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) (JPM HEA) menjunjung kasih serta menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru umat Islam memperkukuh perpaduan dan kesejahteraan ummah.
Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, titah baginda jelas mengingatkan rakyat agar mensyukuri nikmat Aidilfitri di samping mempererat ukhuwah dalam masyarakat.
Menurut beliau, JPM (HEA) turut mengambil maklum peringatan baginda berhubung perkembangan global yang dilihat mampu memberi kesan langsung kepada ekonomi serta kesejahteraan ummah.
“Sehubungan itu, rakyat diseru agar bersedia menghadapi ketidaktentuan dengan berbelanja secara berhemah dan merancang kewangan dengan bijaksana,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam masa sama, beliau menegaskan semangat Ramadan dan Aidilfitri 2026/1447 perlu dimanfaatkan untuk terus memelihara kesatuan dalam kalangan masyarakat.
Katanya, sebarang bentuk perbalahan atau perpecahan harus dielakkan demi memastikan keharmonian negara terus terpelihara.
“Mengambil semangat Ramadan dan Aidilfitri 2026/1447, marilah kita memelihara kesatuan, mengelakkan perbalahan, serta bersama-sama memberi tumpuan kepada usaha membangunkan dan memakmurkan negara,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan cabaran ekonomi global menuntut rakyat lebih berdisiplin dalam pengurusan kewangan serta bijak membuat keutamaan dalam perbelanjaan harian.
Tambahnya, perpaduan yang kukuh serta sikap saling memahami menjadi kunci utama dalam memastikan kestabilan dan kesejahteraan ummah terus terpelihara.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan rakyat agar lebih berhati-hati dalam berbelanja pada musim perayaan dan bersedia dengan sebarang kemungkinan susulan ketidaktentuan akibat konflik di Asia Barat.
Dalam perutusan sempena Aidilfitri 1447 Hijrah, Sultan Sharafuddin bertitah, langkah berkenaan perlu diambil bagi memastikan masyarakat mampu mendepani sebarang ketidaktentuan khususnya kesan terhadap ekonomi.
Dalam perutusan itu, Sultan Sharafuddin turut menitahkan umat Islam agar terus memperkukuh kesatuan dan perpaduan, serta mengelakkan sebarang pertelingkahan dan perbalahan sesama sendiri.
Baginda juga berharap semua pihak daripada peringkat pemimpin, ahli politik hingga rakyat biasa, memberikan tumpuan kepada usaha membangunkan negeri dan memakmurkan negara. – MalaysiaGazette
















