MELAKA – Isu tular membabitkan sebuah motosikal milik polis di kawasan Kota Laksamana terjawab apabila Polis Kontinjen Melaka menjelaskan kenderaan itu sebenarnya sedang dalam proses pembaikan.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, motosikal jenis Honda CBX 750 bernombor pendaftaran WSH 5622 itu merupakan aset Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Menurutnya, kenderaan berkenaan telah dihantar ke sebuah bengkel di Kota Laksamana sejak 2 Mac lalu selepas mengalami kerosakan enjin dan kini masih menunggu alat ganti.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Melaka memandang serius penyebaran maklumat tanpa penjelasan tepat yang boleh menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.
“Orangramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih tanpa mendapatkan pengesahan daripada sumber rasmi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tangkap layar hantaran dibuat Chee Leong sebelum ianya tular mendapat lebih 6,400 komen dan 403 perkongsian.
Dalam pada itu, Dzulkhairi berkata, pihaknya menghargai keprihatinan masyarakat terhadap isu melibatkan aset kerajaan, namun sebarang aduan atau cadangan perlu disalurkan melalui saluran rasmi.
“PDRM akan terus komited memastikan pengurusan aset dilaksanakan secara telus, teratur dan berintegriti demi kepentingan awam serta mengekalkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan ini,” ujarnya.
Semalam, isu berkenaan mendapat perhatian ADUN Kota Laksamana dari DAP, Low Chee Leong yang memuat naik kenyataan di media sosialnya memaklumkan beliau ternampak sebuah motosikal dengan logo polis ketika melakukan lawatan tapak di kawasan DUN berkenaan.
“Saya ingin memohon penjelasan daripada pihak polis, adakah motosikal ini benar milik polis?
Keadaan ini telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang awam,” katanya yang juga TImbalan Exco Kemajuan Desa, Perthian dan Keterjaminan Makanan negeri.
Hantaran itu kemudian tular dan mendapat lebih 6,400 komen dan 403 perkongsian. – MalaysiaGazette
















