MELAKA – Taktik berselindung di sebalik pas pelancong bagi menjalankan kegiatan penipuan khidmat seks atas talian tidak wujud terbongkar apabila 15 individu ditahan polis dalam serbuan di sini kelmarin.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, kegiatan itu dikesan selepas polis menyerbu sebuah rumah teres dua tingkat di Kampung Lapan, Tengkera kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu.
Menurutnya, dalam operasi berkenaan, polis menahan dua lelaki tempatan, 12 lelaki warga China serta seorang wanita warga China berusia antara 26 hingga 49 tahun.
“Siasatan awal mendapati sindiket ini menjalankan penipuan khidmat seks atas talian tidak wujud dengan menyasarkan mangsa warga Taiwan melalui pusat panggilan yang beroperasi di premis tersebut.
“Kesemua suspek dipercayai masuk ke negara ini menggunakan pas pelancong sejak awal Mac lalu sebelum menjadikan rumah berkenaan sebagai pusat operasi sindiket,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di Batu Berendam di sini hari ini.
Menurutnya, serbuan dilakukan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Melaka Tengah.
Tambahnya, hasil serbuan itu polis merampas pelbagai peralatan dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan berkenaan, termasuk 13 komputer, 40 telefon bimbit serta peralatan sokongan lain.
“Turut dirampas dua dokumen perjalanan dengan anggaran nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM85,000.
“Kesemua suspek kini direman selama empat hari bermula 20 Mac hingga 23 Mac bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan serta beberapa peruntukan di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada terhadap tawaran perkhidmatan dalam talian yang meragukan.
Polis Diraja Malaysia akan terus komited membanteras kegiatan penipuan dalam talian dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti sindiket kepada pihak berkuasa. – MalaysiaGazette
















