KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong prihatin terhadap nasib seorang pelajar universiti yang berdepan masalah kesihatan, tampil membantu menampung kos rawatan serta menawarkan peluang latihan industri.
Beliau yang juga merangkap Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Kuskop) berkata, pelajar berkenaan, dikenali sebagai Putri Mahimah Ahmad Burhanuddin adalah anak angkatnya sejak zaman pengajian diploma di UiTM, baru sahaja menjalani pembedahan akibat masalah kesihatan.
“Saya sempat menziarahinya di rumah selepas dia keluar hospital. Sebelum ini saya tidak berkesempatan melawat kerana jadual kerja yang padat, namun saya telah membantu menanggung sebahagian kos perubatannya,” tulisnya dalam Facebook beliau baru-baru ini.
Steven berkata, beliau amat berbangga dengan ketabahan Putri yang terus cemerlang dalam pelajaran walaupun datang daripada keluarga yang berdepan pelbagai cabaran kesihatan dan kewangan.
“Bapanya merupakan pesakit jantung yang sedang menunggu pembedahan pintasan, ibunya juga kurang sihat, dan kini Putri sendiri diuji dengan penyakit yang memerlukan rawatan berterusan.
“Namun dia tidak pernah mengalah. Dia bekerja sambilan dan belajar bersungguh-sungguh sehingga menerima Anugerah Naib Canselor ketika diploma, dan kini sudah tiga kali memperoleh Anugerah Dekan di Universiti Malaya,” dedah Steven.
Beliau turut berkongsi komputer riba yang diberikan kepada Putri sebelum ini masih digunakan sebagai alat utama dalam pengajiannya.
Dalam pada itu, Steven berkata, beliau telah menawarkan Putri untuk menjalani latihan industri di pejabat kementeriannya berdasarkan pencapaian akademik yang cemerlang.
“Ini bukan kerana dia anak angkat saya, tetapi kerana keputusan akademiknya memang sangat baik,” katanya.
Selain itu, beliau turut komited untuk menanggung kos ubat-ubatan bulanan pelajar berkenaan sebanyak RM250 selama setahun, selain menghulurkan bantuan kewangan sempena Aidilfitri.
“Kita doakan agar segala urusan Putri dan keluarganya dipermudahkan. Dia seorang yang kuat dan saya yakin dia mampu terus berjaya,” ujarnya lagi. -MalaysiaGazette
















