GEORGE TOWN – Tradisi gotong-royong membersihkan rumah bersama ahli keluarga menjelang Aidilfitri yang suatu ketika dahulu menjadi kebiasaan kini dilihat semakin berkurangan apabila sebahagian masyarakat memilih menggunakan perkhidmatan pembersihan rumah secara upah, termasuk tenaga kerja warga asing.
Beberapa pengusaha perkhidmatan pembersihan mengakui menerima tempahan yang meningkat mendadak menjelang Aidilfitri, dengan sebahagian besar pelanggan memilih untuk menggunakan tenaga kerja warga asing bagi memastikan rumah bersih pada Aidilfitri.
Trend ini dipercayai dipengaruhi oleh kesibukan kerja, kekurangan masa, dan perubahan gaya hidup bandar moden.
Menurut seorang pengusaha perkhidmatan pembersihan, Mohd Faizal Rahman, 42, kebanyakan tempahan dibuat oleh keluarga yang sibuk bekerja dan tidak mempunyai masa untuk membersihkan rumah sendiri.
“Ikutkan seminggu sebelum puasa semua ‘amah’ kami telah ditempah tapi masih ada pelanggan yang sanggup menawarkan bayar lebih untuk dapatkan khidmat mereka.
“Ramai pilih upah pembersih untuk jimat masa, terutama pekerja asing yang berpengalaman dan cekap. Malah, tawaran cuci rumah mengikut kadar jam ini mampu dibayar oleh semua golongan bukan orang kenamaan sahaja.
“Trend ini dijangka berterusan sepanjang Syawal kerana rumah terbuka masih diadakan hampir setiap hujung minggu, menjadikan permintaan terhadap pekerja asing untuk kerja pembersihan tetap tinggi setiap kali musim perayaan,” katanya.

Sementara itu, Mazlina Abdul Malik, 42, berkata, dia mula menggunakan servis pembersih sejak tiga tahun lalu kerana tidak sempat menguruskan tiga buah rumah termasuk rumah keluarga serta mentua dalam tempoh Ramadan.
“Memang saya sedih kerana kurang budaya gotong-royong untuk sambut Aidilfitri macam zaman saya kanak-kanak dulu tak ada.
“Tapi saya tak ada pilihan kerana sibuk bekerja dan baki masa cuti tidak cukup untuk saya, suami dan anak bantu bersihkan rumah keluarga di Kedah serta rumah kami sendiri di Pulau Pinang.
“Jadi saya ambil upah pekerja asing memang memudahkan persiapan menjelang Aidilfitri,” katanya.
Bagi Mohd Rosly Zainol Abidin, 45, pula, dia memilih untuk menggunakan perkhidmatan pembersih upahan kerana kedua ibu bapanya sudah berumur, manakala adik-beradiknya menetap di ibu negara dan hanya pulang semasa Aidilfitri.

“Mak dan ayah dah tua, adik-beradik lain semua duduk jauh, jadi saya tak nak bebankan mereka dengan kerja pembersihan rumah sebab itu saya ambil servis pembersihan rumah.
“Langkah ini membolehkan keluarga menikmati suasana raya tanpa penat lelah membersihkan rumah dan kami boleh fokus pada persiapan lain seperti memasak dan menyambut tetamu,” katanya. – MalaysiaGazette















