NIBONG TEBAL – Suasana malam raya pertama Aidilfitri di Taman Pekaka di sini, awal pagi tadi bertukar cemas apabila sebuah gerai menjual pelbagai jenis mercun musnah dalam kebakaran.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.05 tengah malam sebelum sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Nibong Tebal digerakkan ke lokasi kejadian.
Menurutnya, kebakaran melibatkan sebuah gerai berkeluasan 10×10 kaki persegi yang digunakan untuk menjual bunga api dan mercun.
“Kebakaran itu menyebabkan gerai berkenaan musnah kira-kira 95 peratus serta sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 turut terjejas dengan anggaran kerosakan sebanyak 90 peratus.
“Api turut merebak ke tiga unit penghawa dingin luar milik sebuah rumah berhampiran dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 12.25 tengah malam dan dipadam sepenuhnya pada jam 12.44 tengah malam.

“Kerja-kerja ‘overhaul’ pula selesai sepenuhnya pada jam 1.25 pagi,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Menurut beliau, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan seramai lapan anggota bomba terlibat dalam operasi pemadaman.
“Pasukan bomba menggunakan kaedah pemadaman secara ofensif serta membuat ‘fire break’ bagi mengelakkan api daripada merebak ke kawasan lain.
“Kes kini diserahkan kepada Unit Penyiasatan Kebakaran untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu tular rakaman video dan gambar kejadian berkenaan di media sosial. – MalaysiaGazette















