KUALA LUMPUR – Seorang pemandu wanita terkorban selepas Perodua Bezza yang dipandunya terlibat dalam kemalangan ngeri dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) di persimpangan lampu isyarat Vista Perdana, kira-kira jam 3 pagi, hari ini.
Manakala dua lagi penumpang kereta dan pemandu pacuan empat roda mengalami kecederaan dan telah dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan kecemasan.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihak telah menerima panggilan kecemasan pada jam 3.05 pagi.
Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng telah dikerahkan ke lokasi dan tiba dalam tempoh sembilan minit bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat.
Pasukan bomba terpaksa menggunakan peralatan khas dan pengusung bagi mengeluarkan mangsa wanita tersebut yang tersepit di dalam remukan kenderaan.
Bagaimanapun, mangsa yang berusia 23 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan, menurut kenyataan rasmi JBPM Sarawak hari ini.
Jasad mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut dan urusan bedah siasat.
Operasi menyelamat dan pembersihan laluan di lokasi kejadian tamat sepenuhnya pada jam 4.15 pagi selepas keadaan disahkan selamat bagi pengguna jalan raya yang lain. – MalaysiaGazette
















