KUALA LUMPUR – Pengerusi Urimai, P. Ramasamy mempersoalkan ketelusan kerajaan dalam isu kenaikan harga bahan api ketika konflik Amerika Syarikat–Iran menjejaskan laluan Selat Hormuz.
Beliau merujuk penjelasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini yang memaklumkan kenaikan RON95, RON97 dan diesel berpunca daripada faktor geopolitik itu.
Pada masa sama, kerajaan menaikkan subsidi bahan api daripada RM700 juta kepada RM3.2 bilion.
Namun, harga tetap meningkat iaitu RON95 naik RM1.60, RON97 sebanyak 60 sen dan diesel RM1.30.
Ramasamy mendakwa, kenaikan itu memberi kesan langsung kepada subsidi yang dinikmati rakyat.
Katanya, subsidi diesel kini dilaksanakan secara bersasar mengikut status sosial dan ekonomi, tetapi subsidi petrol masih diberikan kepada semua.
“Kenapa subsidi petrol tidak disasarkan, tidak begitu jelas. Mungkin kerajaan mahu meraih populariti, tetapi saya tidak pasti,” tulisnya dalam Facebook hari ini.
Beliau turut mempersoalkan ketiadaan pendedahan mengenai pendapatan Petronas daripada eksport petroleum mentah dan gas asli cecair (LNG).
Menurutnya, konflik semasa berkemungkinan meningkatkan keuntungan syarikat itu, namun tiada maklumat didedahkan kepada rakyat.
“Rakyat mahu tahu peningkatan keuntungan Petronas, sama ada nilai kasar atau bersih.
“Keuntungan bersih daripada penjualan petroleum mentah dan LNG sepatutnya boleh digunakan untuk mengimbangi kenaikan harga bahan api,” tegas beliau.
Ramasamy berkata, jika keuntungan itu digunakan untuk tujuan lain, perkara tersebut juga perlu dijelaskan.
Beliau menegaskan, walaupun konflik di Timur Tengah boleh menyumbang kepada kenaikan harga, kerajaan tidak meningkatkan subsidi selaras dengan keadaan itu.
“Rakyat tidak mengharapkan penjelasan semata-mata tanpa pendedahan penuh mengenai eksport dan import bahan api,” katanya.- MalaysiaGazette
Subsidi kerajaan naik RM700j, kerajaan dahulukan kebajikan rakyat – PM















