Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan akan menyekat kad pengenalan yang digunakan seorang rakyat Malaysia yang tular menyalahgunakan subsidi petrol di bawah Program BUDI95.

Tindakan juga diambil terhadap pemilik kenderaan terbabit daripada terus menikmati subsidi BUDI95.

”Kementerian Kewangan memandang serius satu video tular di media sosial yang memaparkan individu mengisi petrol RON95 ke dalam tong/bekas kosong di salah sebuah stesen minyak.

”Siasatan mendapati individu terbabit merupakan warga Malaysia dan pemegang MyKad.

“Perbuatan ini jelas melanggar peraturan kerana menyalahgunakan subsidi bahan api di bawah Program BUDI95 dan berpotensi menjejaskan usaha kerajaan dalam memastikan pengurusan subsidi yang telus, bersasar dan berkesan,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Tegas Kementerian Kewangan, kerajaan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk ketirisan dan salah guna subsidi, khususnya ketidaktentuan situasi semasa yang memerlukan kawalan rapi terhadap bekalan serta harga bahan api.

Tambahnya tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi mengekang aktiviti tidak bertanggung jawab itu.

“Kerajaan amat menghargai rakyat yang cakna dan menyalurkan aduan berhubung isu itu,” katanya lagi.

Sehubungan itu, orang ramai boleh menyalurkan maklumat dan aduan rasmi sekiranya mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan penyaluran subsidi dengan mengubung Pusat Perkhidmatan BUDI MADANI di talian 1300-88-9595 atau WhatsApp di +603-26314595 atau emel ke [email protected]. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast