KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Pemuda MCA, Saw Yee Fung menyifatkan insiden letupan di sebuah gerai penjualan bunga api di Taman Pekaka, Nibong Tebal sebagai bukti jelas kegagalan penguatkuasaan dan kelemahan struktur dalam kawal selia penjualan bahan berbahaya itu di negara ini.
Menurutnya, kejadian yang mencetuskan panik serta kerosakan harta benda itu bukan kes terpencil, sebaliknya mencerminkan masalah berlarutan melibatkan pengawasan longgar, penguatkuasaan lemah serta ketiadaan mekanisme akauntabiliti yang berkesan.
Beliau berkata, situasi itu semakin membimbangkan apabila statistik menunjukkan peningkatan mendadak kes kebakaran melibatkan premis penjualan bunga api dan mercun.
“Sebanyak 113 kes direkodkan pada tahun 2025 berbanding hanya 19 kes pada 2024, iaitu peningkatan sebanyak 494 peratus. Bagi tahun ini pula, sehingga Februari sahaja sudah tujuh kes dilaporkan.
“Ini jelas menunjukkan masalah ini semakin serius dan tidak boleh lagi dipandang ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yee Fung turut mempersoalkan kegagalan kerajaan, khususnya Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam mengambil langkah perundangan susulan bagi menjamin keselamatan awam.
Menurutnya, tumpuan yang hanya terarah kepada usaha penghalalan tanpa disertai kerangka keselamatan dan penguatkuasaan yang kukuh adalah tidak memadai.
“Dalam konteks kerajaan yang sering menekankan gagasan Malaysia Madani dan reformasi institusi, kejadian seperti ini sudah tentu menjejaskan keyakinan rakyat terhadap keupayaan tadbir urus dan penguatkuasaan,” ujarnya.
Beliau berkata, rakyat berhak mempersoalkan beberapa perkara asas termasuk bagaimana bahan mudah terbakar berisiko tinggi boleh dijual berhampiran kawasan perumahan serta mengapa tiada piawaian keselamatan yang jelas dalam aspek penyimpanan dan pameran.
“Jika garis panduan keselamatan memang wujud tetapi gagal dikuatkuasakan, maka itu adalah kegagalan penguatkuasaan. Jika peraturan asas pun belum diwujudkan, ia merupakan kecuaian serius yang mengabaikan keselamatan rakyat,” katanya lagi.
Sehubungan itu, beliau mengemukakan empat cadangan utama bagi menangani isu berkenaan secara menyeluruh.
Pertama, katanya, kerajaan perlu segera menjalankan siasatan bebas dan mendedahkan laporan penuh kepada umum bagi memastikan ketelusan serta mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Kedua, beliau menegaskan keperluan mewujudkan mekanisme akauntabiliti yang jelas termasuk mengambil tindakan terhadap pegawai atau agensi yang didapati cuai, dan bukan hanya meletakkan tanggungjawab kepada peniaga semata-mata.
Ketiga, katanya, penilaian menyeluruh perlu dilakukan terhadap keupayaan pelaksanaan pihak berkuasa tempatan dan agensi penguatkuasaan, khususnya dalam aspek kelulusan lesen serta pemantauan.
“Peranan pihak berkuasa tempatan termasuk kelulusan permit dan lesen perniagaan perlu dinilai semula bagi memastikan sistem yang ada benar-benar dilaksanakan dengan tegas,” katanya.
Keempat, beliau menegaskan keperluan reformasi dasar secara menyeluruh, termasuk menilai semula sistem pengurusan bunga api dan mercun bagi memastikan kawal selia jangka panjang yang lebih mampan.
Yee Fung berkata, kegagalan bertindak secara menyeluruh hanya akan menyebabkan insiden sama berulang dalam kitaran berterusan tanpa penyelesaian.
“Rakyat tidak memerlukan penjelasan selepas kejadian, tetapi jaminan sebelum ia berlaku. Kerajaan mesti bertindak dengan langkah konkrit bagi memastikan keselamatan awam terus terpelihara,” tegasnya. -MalaysiaGazette

















Rupa rupanya bila dah tidak mempunyai kuasa dan kedudukan dlm kerajaan baru ada idea yg bernas untuk dikemukakan..kenapa tidak dulu dulu masa masih berkuasa..