NIBONG TEBAL – Polis kini sedang menjalankan siasatan berhubung kebakaran yang memusnahkan sebuah gerai penjualan bunga api di Taman Pekaka di sini, semalam.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, setakat ini pihaknya telah menerima lima laporan berkaitan kejadian berkenaan.
“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 286 Kanun Keseksaan iaitu melibatkan kecuaian dalam pengendalian bahan letupan.
“Beberapa individu akan dipanggil untuk merakam keterangan bagi membantu siasatan dan siasatan lanjut masih diteruskan ketika ini,” katanya hari ini.
Media semalam melaporkan sebuah gerai yang menjual bunga api musnah dalam kebakaran di Taman Pekaka di sini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sebuah motosikal jenis Yamaha Y15 turut terjejas dengan kerosakan dianggarkan 90 peratus, manakala api merebak ke tiga unit penghawa dingin luar sebuah rumah berhampiran.
Difahamkan, gerai bunga api yang terletak bertentangan sebuah restoran nasi kandar itu mempunyai permit sah bagi tempoh 19 Februari hingga 24 Mac.
Semalam, Armada Bersatu Bahagian Nibong Tebal dilaporkan menggesa polis menjelaskan status permit gerai berkenaan serta tindakan penguatkuasaan yang diambil. – MalaysiaGazette















