GEORGE TOWN – Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu video tular yang memaparkan sepasang lelaki dan wanita berada dalam keadaan bogel serta melakukan perbuatan tidak senonoh di sebuah jirat Cina di sini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, pihaknya telah menerima laporan berhubung insiden berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan bagi menentukan sama ada kejadian itu berlaku baru-baru ini atau merupakan kes lama.
“Kejadian itu dipercayai berlaku di salah sebuah tanah perkuburan di negeri ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 294 Kanun Keseksaan dan Seksyen 509 akta sama,” katanya hari ini.
Terdahulu tular video berdurasi 38 saat di media sosial memaparkan seorang lelaki dalam keadaan bogel sepenuhnya dengan membelakangi kamera, manakala seorang wanita yang berpakaian separa bogel dilihat duduk di atas sebuah batu nisan.
Rakaman itu turut menunjukkan individu yang merakam video berkenaan menegur pasangan terbabit dan mendakwa mereka pernah dilihat melakukan perbuatan sama sebelum ini.
Dalam rakaman sama, lelaki berkenaan dilihat dengan tenang memakai seluar, manakala wanita yang merakam video terus memarahi mereka serta mengingatkan bahawa kawasan tanah perkuburan adalah tempat untuk menziarahi dan menghormati si mati.
Lelaki itu kemudian memohon maaf, namun permohonan tersebut ditolak dan wanita berkenaan memaklumkan bahawa dia akan membuat laporan polis berhubung kejadian itu. – MalaysiaGazette
















