Polis Di Raja Malaysia (PDRM).

KUALA LUMPUR – Polis sedang meneliti dakwaan yang tular di media sosial berkaitan beberapa individu yang dipercayai cedera akibat letupan mercun bola dalam satu kejadian di Tobiar, Pendang, Kedah.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat lanjut daripada Hospital Pendang bagi mengesahkan insiden tersebut, selepas difahamkan mangsa menerima rawatan di bahagian kecemasan hospital berkenaan.

Menurutnya, sehingga kini polis belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung kejadian itu, sama ada daripada pihak hospital mahupun orang awam.

“Polis akan ke hospital hari ini untuk mendapatkan butiran lengkap berkaitan kejadian tersebut.

“Berdasarkan maklumat awal yang diperoleh, satu laporan akan dibuat bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya ketika dihubungi media.

Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan kesahihan maklumat sebelum sebarang tindakan lanjut diambil oleh pihak berkuasa.

Terdahulu, satu hantaran di Facebook mencetuskan perhatian ramai apabila memaparkan beberapa gambar individu yang dipercayai mengalami kecederaan yang didakwa berpunca daripada ‘ujikaji mercun bola’ sehingga menyebabkan tujuh mangsa terpaksa menyambut Aidilfitri di hospital.

Hantaran tersebut turut menimbulkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai, terutama menjelang musim perayaan yang sering dikaitkan dengan penggunaan bahan letupan seperti mercun.

Bagaimanapun, polis menegaskan siasatan masih di peringkat awal dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi sehingga maklumat sah diperoleh dan maklumat lanjut kes itu akan dimaklumkan selepas siasatan selesai dijalankan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast