Keadaan kebakaran besar yang turut memusnahkan rumah di sekitar akibat kebocoran saluran paip gas ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jalan Putra Harmoni Putra Height, Subang Jaya, Selangor. Foto MUHAIMIN MARWAN, 1 APRIL 2025

SUBANG JAYA – Tanggal 2 Syawal 1447 Hijrah sambutan Hari Raya Aidilfitri semalam, genaplah setahun kejadian saluran paip gas milik Petronas meletup yang mengakibatkan kebakaran besar dan 145 individu cedera di Putra Heights, di sini.

Tinjauan MalaysiaGazette semalam mendapati, walaupun insiden itu tidak melibatkan kehilangan nyawa, namun kesannya masih dapat dirasai sehingga ke hari ini apabila suasana Kampung Kuala Sungai Baru bagaikan pekan hantu.

Tiada rumah terbuka mahupun aktiviti kunjung-mengunjung dari rumah ke rumah dapat dilihat sepanjang tinjauan seharian di kampung tradisi itu, ditambah pula lalu lintas lengang dan hampir tiada kenderaan.

Pengasas Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Ustaz Asri Yunus bercakap semasa ditemubual mengenai insiden letupan paip gas Putra Heights yang berlaku setahun lalu, ketika tinjauan pada Hari Raya kedua di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. Foto SADIQ SANI, 22 MAC 2026.

Sambutan hari kedua Aidilfitri itu seolah-olah hambar dan perkara itu diakui sendiri pengasas Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Asri Yunus, sejak malam raya, pada Jumaat.

“Kalau tahun lepas hari raya kedua, Ustaz balik dari Perak, Ustaz nak ke Kuantan, Pahang, tapi tahun ini Ustaz singgah dan balik, salah satunya untuk mengenang balik suasana perayaan hari raya.

“Dari pengamatan Ustaz, pergerakan penduduk di kampung di sini amat berbeza berbanding tahun lepas, tahun lepas meriah, malam raya itu ada orang main mercun, bakar lemang, ada baraan dan kita bertakbir hari raya.

“Tapi tahun ini Ustaz dapati memang ramai yang balik kampung masing-masing dan mungkin masih lagi rasa trauma, takut kejadian berulang.

“Mudah-mudahan kita berdoa kepada Allah SWT supaya tiada lagi perkara sebegini berlaku, kita dijauhkan daripada bala bencana seperti ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari di sini, hari ini.

Pengasas Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Ustaz Asri Yunus menunjukkan kesan-kesan kebakaran yang berlaku susulan insiden letupan paip gas Putra Heights yang berlaku setahun lalu, ketika tinjauan pada Hari Raya kedua di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. Foto SADIQ SANI, 22 MAC 2026.

Pada 1 April 2025, negara digemparkan dengan kejadian saluran paip gas milik Petronas bocor lalu mengakibatkan letupan dan kebakaran besar sejauh 500 meter di Jalan Putra Harmoni Putra Heights, Subang Jaya.

Insiden itu menyebabkan 145 individu cedera yang mana 104 orang daripadanya menerima rawatan di hospital serta ramai lagi dipindahkan ke kawasan berdekatan.

Bangunan Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari yang sedang dibina semula susulan insiden letupan paip gas Putra Heights yang berlaku setahun lalu, ketika tinjauan pada Hari Raya kedua di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. Foto SADIQ SANI, 22 MAC 2026.

Dalam pada itu, Asri juga mengakui Maahad Tahfiz kelolaannya juga menerima tempias kejadian itu apabila hanya 12 pelajar baharu mendaftar tahun ini, berbanding sebelum berlaku tragedi tersebut.

“Kalau suatu masa dahulu pelajar-pelajar kami hampir 30 orang pada satu-satu masa, tapi pada tahun ini kira-kira 12 pelajar yang mendaftar masuk ke tempat ini.

“Jadi kejadian letupan itu juga memberi kesan kepada kemasukan pelajar-pelajar baharu bukan sahaja di Maahad Tahfiz kami , bahkan Maahad Tahfiz lain yang berdekatan juga menerima nasib sama.

“Contohnya Maahad Tahfiz al-Muqri juga terkesan dengan kemasukan pelajar-pelajar yang mungkin trauma, ibu bapa masih takut denngan kejadian yang berlaku tahun lepas,” katanya.

Pengasas Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari, Ustaz Asri Yunus menunjukkan kesan-kesan kebakaran yang berlaku susulan insiden letupan paip gas Putra Heights yang berlaku setahun lalu, ketika tinjauan pada Hari Raya kedua di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. Foto SADIQ SANI, 22 MAC 2026.

Ketika ditanya tentang pengalamannya berdepan detik cemas kejadian itu, Asri berkata, beliau sedih apabila pusat pengajian itu yang ditinggalkan terbakar hingga memusnahkan sebahagian bumbungnya.

“Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari dari tempat kejadian hanyalah 300 meter dan dikhabarkan oleh penduduk kampung yang menyaksikan sendiri kejadian itu api hampir berada di belakang Maahad Tahfiz kami.

“Pada waktu itu saya juga dihubungi beberapa penduduk kampung yang mengatakan Maahad Tahfiz saya terbakar, ketika itu saya berasa sangat sedih, memang rasa nak menangis, Maahad Tahfiz yang ditinggalkan terbakar.

“Sampai sekarang masih lagi terasa traumanya, apatah lagi berlaku kerosakan di mana besi kerangka bumbung bengkok akibat daripada kepanasan melampau,” katanya.

Bangunan Maahad Tahfiz Vokasional Aman Bistari yang sedang dibina semula susulan insiden letupan paip gas Putra Heights yang berlaku setahun lalu, ketika tinjauan pada Hari Raya kedua di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. Foto SADIQ SANI, 22 MAC 2026.

Selain itu, Asri juga tidak dapat melupakan apabila letupan saluran paip gas itu menyebabkan batu-batu kecil dan pasir bertaburan ke atas bumbung kompleks Maahad Tahfiz terbabit.

“Pasir yang berhamburan itu setinggi dua kaki memenuhi bumbung Maahad Tahfiz kami, malah ketika kami bersihkan, kami dapat kumpulkan pasir sebanyak dua lori lima tan daripada letupan itu,” katanya.

Penduduk, Junaidah Mahmudin, 64, bercakap semasa ditemubual mengenai insiden letupan paip gas Putra Heights yang berlaku setahun lalu, ketika tinjauan pada Hari Raya kedua di Kampung Kuala Sungai Baru, Puchong. Foto SADIQ SANI, 22 MAC 2026.

Sementara itu, seorang penduduk Kampung Kuala Sungai Baru, Junaidah Mahmudin, 64, yang ditemui memberitahu, rasa berdebar-debar mengenangkan kejadian itu masih sukar diatasinya sehingga ke hari ini.

“Emosi itu masih ada, dan saya masih terkesan dan trauma, masih ketakutan, bila dengar bunyi letupan atau bunyi bising mesti terimbau kembali insiden itu, malah tak rasa lagi keseronokan nak beraya walaupun sudah setahun berlalu.

“Saya tak boleh dengar walaupun orang bakar sampah, jantung bukan sahaja berdebar-debar bahkan boleh menangis bila teringat kejadian itu.

“Kalau dengar bunyi kuat, serta-merta jantung laju berdegup, sampai anak terpaksa pujuk saya supaya bertenang,” katanya.

Sisa-sisa bangunan rumah kedai yang telah musnah susulan insiden letupan paip gas Putra Heights yang berlaku setahun lalu, ketika tinjauan pada Hari Raya kedua di Jalan Putra Harmoni, Putra Heights, Subang Jaya. Foto SADIQ SANI, 22 MAC 2026.

Ketika menceritakan detik cemas itu, Junaidah berkata, dia dengar bunyi kuat seolah-olah ada kapal terbang terhempas dan roket menjunam bersebelahan Kampung Kuala Sungai Baru.

“Lepas itu saya ditarik orang yang tidak dikenali untuk selamatkan diri, walaupun beberapa kali jatuh, tapi saya bangun teruskan berjalan, hingga tak rasa sakit di kaki.

“Kalau saya jumpa dia, saya nak berterima kasih dengannya, sampai hari ini cuba cari dia tapi tak pernah jumpa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast