Suspek lelaki (kiri) yang bekerja sebagai tukang pendawaian elektrik dan pasangannya (kanan) antara dua pasangan yang ditangkap Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam dua serbuan berasingan di Ayer Keroh, Melaka malam tadi.

MELAKA – Seorang pekerja pendawaian elektrik antara dua pasangan ditangkap Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam dua serbuan berasingan kerana disyaki berkhalwat di sekitar Ayer Keroh, di sini tengah malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira pukul 12.30 tengah malam, lelaki berusia 25 tahun yang bekerja dalam bidang pendawaian elektrik itu ditahan bersama pasangannya berusia 30 tahun di sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Menurut sumber, JAIM melakukan tangkapan semula selepas pasangan bukan muhrim itu dicekup ahli keluarga wanita terbabit bersama seorang imam apabila mendapati mereka berdua-duaan dalam keadaan mencurigakan.

“Tangkapan awal dilakukan saudara suspek wanita bersama imam selepas mendapati suspek lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai ‘abang wiring’ berdua-duaan dengan pasangannya itu di dalam rumah.

“Sebelum itu pada jam 9 malam tadi, sepasukan penguat kuasa JAIM bersama seorang imam turut menahan pasangan berusia 25 dan 21 tahun selepas dipercayai berdua-duaan tanpa hubungan sah dalam sebuah rumah di Ayer Keroh,” katanya.

Sumber berkata, kedua-dua pasangan itu akan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 53 Enakmen Syariah Negeri Melaka 1991 kerana bersekediaman atau berkhalwat yang menimbulkan syak.

Mereka kemudian dibawa ke pejabat JAIM untuk tindakan seterusnya yang mana jika sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast