KUALA LUMPUR – Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) mengusulkan beberapa cadangan bagi memperkukuhkan larangan merokok di tempat awam termasuk memperluas kuasa penguatkuasaan kepada Polis Bantuan di agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, terminal pengangkutan awam dan kompleks beli-belah.
Tambahnya, amalan agensi beruniform seperti Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia yang melarang anggota merokok di khalayak awam wajar dijadikan piawaian kepada semua penjawat awam.
Katanya, walaupun tidak berpakaian seragam, pemakaian pakaian korporat dan tanda nama rasmi tetap mencerminkan imej kerajaan dan perlu dipelihara.
Saranan MCTC itu susulan insiden tular di media sosial seorang petugas kesihatan didapati merokok di sebuah premis makanan. Petugas berkenaan kemudiannya dikompaun oleh Kementerian Kesihatan dan bakal diambil tindakan tatatertib dalaman.
“Perlakuan merokok di premis makanan yang dilarang bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mencerminkan budaya ketidakpatuhan yang amat mengecewakan.
“Lebih membimbangkan, ia melibatkan individu yang sepatutnya menjadi contoh teladan dalam menyokong dan memajukan dasar kawalan tembakau negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah MCTC, ketua jabatan juga perlu memainkan peranan proaktif dalam memastikan pematuhan undang-undang serta membudayakan integriti dalam kalangan kakitangan di samping menilai dan menggalakkan gaya hidup sihat kakitangan melalui sistem penilaian prestasi tahunan.
Ia juga mencadangkan pekeliling penguatkuasaan larangan merekod terdahulu diperkukuh dengan garis panduan baharu yang memperjelaskan akauntabiliti kepimpinan jabatan terhadap kesalahan merokok.
“MCTC menegaskan bahawa bahaya asap rokok adalah nyata dan serius. Statistik menunjukkan bahawa lebih 27,000 rakyat Malaysia meninggal dunia setiap tahun akibat penyakit berkaitan terdedah kepada asap rokok termasuk bukan perokok,” katanya lagi.
Tambahnya, larangan merokok di tempat awam bukan sekadar peraturan tetapi langkah penting untuk melindungi orang lain daripada terdedah kepada bahaya asap rokok (second-hand smoke).
Peraturan itu juga menurut MCTC adalah bagi menggalakkan perokok mengurangkan kadar merokok ke arah berhenti sepenuhnya selain melindungi kanak-kanak daripada terpengaruh dengan tabiat merokok oleh orang dewasa. -MalaysiaGazette















