KUALA LUMPUR – Victor Chin mendakwa telah menyerahkan wang sebanyak RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen daripada PKR bagi membantu ahli perniagaan itu menyelesaikan isu yang membelenggu beliau berhubung skandal ‘mafia korporat’.
Perkara itu didedahkan Victor menerusi dokumen setebal 40 muka surat yang turut memperincikan kronologi berkaitan isu ‘mafia korporat’ membabitkan Syarikat NexG Berhad.
Katanya, pada 18 Oktober 2025, Ahli Parlimen PKR terbabit meminta Victor mengatur wang tunai RM10 juta dan berjanji akan menyelesaikan masalah ahli perniagaan itu dengan berunding dengan ‘Geng Mafia Korporat.’
‘Meskipun berdepan dengan ancaman, penahanan reman, akaun bank dibekukan beberapa lagi tindakan penguatkuasaan, Victor masih ditekan untuk menyediakan sejumlah wang yang banyak dengan meminjam kepada ah long,” kata dokumen yang didedahkan Victor kepada media hari ini.
Menurut beliau, sejumlah RM9.5 juta telah diserahkan kepada Ahli Parlimen tersebut namun baki RM500,000 tidak pernah diserahkan kerana Ahli Parlimen berkenaan tidak menunaikan janjinya untuk menyelesaikan isu terbabit.
Bagaimanapun, wang berkenaan tidak diserahkan kepada ‘geng mafia korporat’ terbabit, katanya.
“Saya ingin berpesan kepada Ahli Parlimen ini: Sila pulangkan RM9.5 juta sebelum 30 Mac 2026, atau saya akan mendedahkan identiti anda,” ujar beliau.
Beliau turut menyebut beberapa nama, agensi dan pangkat individu-individu terbabit yang didakwanya menjadi ‘watak penting’ di dalam skandal berkenaan.
Dalam emel yang sama kepada media, Victor turut menyertakan kenyataan yang menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Ismail untuk membongkar kebenaran yang sebenarnya di sebalik dakwaan skandal mafia korporat.
Katanya, beliau percaya Khalid turut mengetahui siapa mafia korporat sebenar dalam skandal NexG Bhd.
Dalam pada itu, beliau turut menyokong penuh penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan dan menyelesaikan isu tersebut. -MalaysiaGazette
















