JOHOR BAHRU – Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kes kebakaran khemah menjual mercun dan bunga api di Jalan Bunga Ros, Kampung Dato’ Sulaiman Menteri di sini kelmarin.
Timbalan Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, kedua-dua lelaki berusia 30 hingga 35 tahun itu ditahan sebuah kediaman di Kulai, pukul 11.15 pagi ini dan di Kampung Melayu Majidee di sini, pukul 12.30 tengah hari yang sama.
“Semakan mendapati salah seorang suspek memiliki lesen menjual, memiliki dan membeli mercun.
“Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada generator yang digunakan oleh seorang suspek di gerai menjual mercun miliknya terbakar.
“Kebakaran tersebut kemudian telah merebak ke gerai mercun suspek hingga menyebabkan keseluruhan mercun di gerai itu terbakar dan meletup,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Perhimpunan Sempena Peringatan Hari Polis ke-219 Tahun 2026 peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Chuan Huat berkata, kebakaran turut menyebabkan sebuah ‘food truck’ yang diletak bersebelahan dengan gerai itu terbakar.
Katanya, insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kehilangan nyawa dan kecederaan dan nilai kerugian dianggarkan RM50,000.
Tambahnya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 286 Kanun Keseksaan kerana kelakuan cuai berkenaan dengan apa-apa benda letupan.
Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini esok bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, sepanjang Ramadan lalu, sebanyak 66 kes merangkumi pelbagai kesalahan berkaitan mercun direkodkan di negeri ini.- MalaysiaGazette















