KUALA LUMPUR – Rangkaian restoran popular, India Gate mencipta rekod ASEAN apabila menjual lebih 647,000 hidangan biryani daripada keseluruhan 147 menu yang ditawarkan dalam tempoh setahun.
Pengiktirafan oleh ASEAN Records itu sekaligus baru-baru ini meletakkan India Gate sebagai restoran India pertama di Malaysia yang mencapai pencapaian tersebut.
Pengasas India Gate, Saravanan Subramaniam berkata, kejayaan itu mencerminkan penerimaan kukuh pelanggan terhadap masakan India autentik yang ditawarkan, selain usaha berterusan pasukan dalam mengekalkan kualiti makanan.
Menurutnya, pencapaian berkenaan bukan sekadar angka jualan, tetapi membawa makna lebih besar dari segi hubungan antara makanan, budaya dan komuniti.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat bermakna buat kami. Ia bukan hanya tentang jumlah hidangan yang terjual, tetapi tentang bagaimana makanan mampu menyatukan masyarakat pelbagai latar belakang,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Katanya, kejayaan tersebut turut didorong oleh komitmen pasukan dalam memastikan setiap hidangan disediakan dengan standard yang konsisten serta menggunakan bahan berkualiti.
India Gate yang ditubuhkan pada 2017 kini mengendalikan 13 cawangan di seluruh negara dengan menawarkan 147 jenis hidangan merangkumi pelbagai tradisi masakan India termasuk India Utara, India Selatan, Mughal, tandoor dan Chettinad.
Selain biryani sebagai menu utama, restoran itu turut menyediakan pelbagai pilihan hidangan vegetarian dan bukan vegetarian yang dimasak segar setiap hari.
Mengulas aspek halal, Saravanan berkata setiap menu biryani yang ditawarkan mempunyai pensijilan halal kerana ia dimasak di dapur berpusat sebelum diedarkan ke semua cawangan.
“Setiap hidangan biryani kami disediakan di dapur berpusat yang mempunyai sijil halal sebelum dihantar ke cawangan lain.
“Berita baiknya, kami kini dalam proses mendapatkan pensijilan halal bagi keseluruhan menu kerana kami mempunyai ramai pelanggan dalam kalangan Muslim,” katanya.

Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan keyakinan pelanggan terus terpelihara selain memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang.
Saravanan berkata, keupayaan untuk mengekalkan keaslian rasa di setiap cawangan menjadi antara faktor penting yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.
“Kami sentiasa memastikan setiap hidangan yang disajikan menepati rasa autentik India, di samping menyesuaikannya dengan citarasa tempatan tanpa menjejaskan identiti asal,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pelanggan yang terus menyokong jenama itu sejak penubuhannya hampir sedekad lalu.
“Kejayaan ini tidak mungkin dicapai tanpa sokongan pelanggan dan dedikasi pasukan kami yang menjadi tulang belakang kepada operasi harian,” katanya.
Tambahnya, pengiktirafan tersebut akan menjadi pemangkin untuk India Gate terus memperluaskan jenama serta meningkatkan kualiti perkhidmatan pada masa akan datang. -MalaysiaGazette
















