LANGKAWI – Langkawi terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara destinasi pulau paling digemari di Asia apabila tersenarai dalam 10 Pulau Terbaik di Asia dalam Anugerah Pilihan Pembaca DestinAsian Readers’ Choice Awards, baru-baru ini.
Pengiktirafan ini secara konsisten telah meletakkan Langkawi antara destinasi pulau terbaik di rantau ini.
Pada 2025, Langkawi dipilih sebagai Pulau Terbaik ke-2 di Asia dalam Condé Nast Traveler Readers’ Choice Awards serta tersenarai dalam destinasi pulau terbaik Asia-Pasifik dalam Travel + Leisure Luxury Awards Asia Pacific.
Pemilihan ini mencerminkan daya tarikan berterusan pulau ini dalam kalangan pelancong antarabangsa dari segi pemandangan, alam semula jadi dan pengalaman ditawarkan.
Pertumbuhan pelancongan pulau ini turut mencerminkan daya tarikan tersebut apabila pada 2025, Langkawi merekodkan 3.2 juta ketibaan pelawat dan menjana RM8.3 bilion hasil berkaitan pelancongan, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai destinasi pulau utama di Asia Tenggara.
Pada tahun sama, Langkawi menerima 370,395 pelawat dari United Kingdom dan Europe menegaskan kepentingan rantau itu sebagai antara pasaran jarak jauh utama pulau berkenaan.
Walaupun anugerah dan penarafan mencerminkan pengiktirafan antarabangsa yang semakin meningkat, faktor sebenar yang menarik pelancong kembali ke Langkawi saban tahun adalah sesuatu yang sukar diukur menerusi ruang, alam semula jadi dan tempo perjalanan yang lebih santai.
Berbeza dengan destinasi yang dipenuhi kesesakan dan jadual padat, Langkawi menawarkan pengalaman berbeza seperti pantai yang tenang, hutan paya bakau, gunung diliputi hutan hujan serta laluan jalan panjang yang menjadikan perjalanan itu sendiri sebahagian daripada pengalaman. Ia merupakan destinasi yang mengajak pengunjung memperlahankan rentak, bukan tergesa-gesa.
Langkawi juga menempatkan Langkawi UNESCO Global Geopark, geopark global pertama UNESCO di Asia Tenggara yang diiktiraf atas warisan geologi, biodiversiti dan usaha pemuliharaan di seluruh kepulauan Langkawi yang terdiri daripada 99 pulau.
Pengiktirafan berterusan Langkawi dalam pelbagai anugerah antarabangsa mencerminkan perubahan keutamaan pelancong masa kini bukan sekadar destinasi untuk dikunjungi, tetapi tempat untuk kembali terhubung, menenangkan diri dan menikmati perjalanan pada rentak berbeza. – MalaysiaGazette
















