KUALA LUMPUR – Ahli perniagaan, Albert Tei mendakwa, saranan bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Sivarasa Rasiah agar Victor Chin membuat laporan polis, dikhuatiri melenyapkan usaha untuk mendedahkan dalang di sebalik modus operandi ‘mafia korporat’.
Sebaliknya, Albert menyokong usaha ahli perniagaan itu terus mendedahkan maklumat lanjut melalui media kerana hanya dengan cara itu beliau akan mendapat liputan meluas, selain melindungi keselamatannya.
Sehubungan itu, beliau membidas saranan Sivarasa dan mendakwa bekas Ahli Parlimen Sungai Buloh itu sedang melakukan kerja bodoh dengan mengganggu tumpuan untuk cuba mengawal kerosakan dalam PKR.
“Apa yang kamu katakan bahawa Victor Chin sepatutnya `buat saja laporan polis’ dan `hentikan drama bodoh’, hanya akan melenyapkan usahanya untuk mendedahkan siapa dalang di sebalik modus operandi `mafia korporat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Albert mengulas laporan media berhubung kenyataan Sivarasa yang mengesa ahli perniagaan itu membuat laporan polis berhubung dakwaan seorang ahli Parlimen parti itu menerima RM9.5 juta sebagai bayaran untuk menyelesaikan kemelut berkaitan `mafia korporat’.
Sivarasa dalam kenyataan menerusi laman sosial `X’ berkata, Victor juga patut mengadakan sidang media dan mendedahkan identiti ahli politik itu bagi membolehkan pihak berkenaan menjawab dakwaan tersebut.
Mengulas lanjut, Albert mendakwa, kepercayaan rakyat terhadap pihak berkuasa terutama polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semakin terhakis selepas beberapa siri laporan dibuatnya berhubung salah laku pemimpin berpofil tinggi.
“Rakyat Malaysia nampak akibat saya mendedahkan salah laku pemimpin berpofil tinggi. Siapa lagi akan percaya kepada pihak berkuasa terutamanya polis dan SPRM?
“Berapa banyak laporan polis dan SPRM telah dibuat oleh saya sejak hujung tahun 2024, namun tiada pun sebarang tindakan diambil terhadap mereka yang berkuasa dan berpengaruh walaupun mempunyai pelbagai bukti untuk membuktikan kesalahannya,” ujar Albert. – MalaysiaGazette















