GEORGE TOWN – Kemeriahan rumah terbuka Aidilfitri saban tahun bukan sahaja menyaksikan pelbagai juadah dihidangkan, malah turut menyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan yang memberi kesan kepada alam sekitar.
Pegawai Pendidikan Kanan Persatuan Pengguna-Pengguna Pulau Pinang (CAP), NV. Subbarow berkata, data menunjukkan Malaysia menghasilkan secara purata lebih 38,000 tan sisa pepejal setiap hari, dengan antara 40 hingga 50 peratus daripadanya adalah sisa makanan.
Katanya, jumlah ini meningkat 15 hingga 20 peratus ketika musim perayaan sekali gus mencetuskan kebimbangkan kerana hampir separuh daripada sisa makanan yang dibuang sebenarnya masih boleh dimakan.
“Perayaan merupakan masa untuk meraikan, tetapi ia sering menyebabkan pembaziran makanan yang ketara disebabkan persediaan berlebihan dan tabiat budaya yang banyak.
“Mengurangkan pembaziran bukan sahaja menjimatkan wang, tetapi juga membantu melindungi alam sekitar daripada pelepasan metana daripada tapak pelupusan sampah,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Subbarow berkata, antara langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan pembaziran makanan ketika musim perayaan ialah dengan merancang hidangan mengikut jumlah tetamu yang dijangka hadir.
Menurutnya, penganjur rumah terbuka juga digalakkan mempertimbangkan konsep rumah terbuka komuniti atau potluck raya yang membolehkan tetamu membawa hidangan masing-masing.
“Pendekatan ini bukan sahaja dapat mengurangkan lebihan makanan, malah menggalakkan perkongsian dalam komuniti serta mengelakkan penyediaan makanan secara berlebihan oleh seorang tuan rumah sahaja.
“Selain itu, lebihan makanan yang masih elok juga boleh disalurkan kepada pertubuhan kebajikan atau golongan memerlukan supaya ia tidak berakhir sebagai sisa di tapak pelupusan sampah,” katanya.
Tambah beliau, sikap menyediakan makanan secara berlebihan ketika musim perayaan perlu diubah bagi mengelakkan pembaziran yang semakin meningkat setiap tahun. – MalaysiaGazette















