KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli menjawab saman fitnah yang dikemukakan pempengaruh media sosial, Caprice berkaitan isu rasuah berhubung projek Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menerima tuntutan saman tersebut dan telah memfailkan memorandum kehadiran bagi menjawabnya.
Memorandum kehadiran adalah dokumen rasmi mahkamah yang difailkan oleh defendan dalam prosiding sivil untuk memperakukan penerimaan writ saman dan menyatakan niat untuk memasukkan pembelaannya.
Saman fitnah itu mengenai beberapa hantaran dalam laman sosial Rafizi yang menyentuh tuduhan Caprice melibatkan rasuah RM2.5 bilion membabitkan pemberian kontrak kepada sebuah syarikat dikaitkan dengan bekas menteri itu.

Peguam Mohd Rezan Ezra yang mewakili Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli ketika dihubungi media hari ini berkata, Rafizi telah menerima tuntutan saman anak guamnya melalui peguam beliau.
Menurut beliau, mahkamah mengarahkan Rafizi memfailkan pembelaan pada atau sebelum 9 April ini manakala Caprice pula diarahkan memfailkan jawapan kepada pembelaan pada atau sebelum 30 April ini.
“Mahkamah kemudian menetapkan tarikh pengurusan kes selanjutnya pada 13 Mei ini,” katanya.
Beliau memaklumkan perkembangan itu selepas sesi pengurusan kes hari ini yang dijalankan secara e-review di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Nur Shasha Hidayah Nor Azahar. Prosiding turut disertai peguam Edmund Choi yang mewakili Rafizi.
Caprice selaku plaintif memfailkan saman itu pada 26 Februari lalu dengan mendakwa pada 12 Februari lalu, satu laporan SPRM dibuat terhadap Rafizi berhubung suatu perjanjian kerajaan dengan sebuah syarikat semikonduktor berpangkalan di United Kingdom, ARM Holdings.
Beliau berkata, pada 16 Februari pula, satu kertas siasatan dibuka terhadap Rafizi antara lain berhubung laporan SPRM berkenaan.
Katanya, susulan beberapa artikel berita dan penerbitan, siasatan SPRM turut membabitkan Projek NETR berkaitan Itramas Corporation Sdn Bhd.
Katanya, pada hari sama, beliau (Caprice) memuat naik satu video di akaun Instagram dan TikTok miliknya yang membincangkan keadaan berkaitan Projek NETR susulan siasatan SPRM itu.
Menurut Caprice, Rafizi yang dinamakan sebagai defendan tunggal telah mengeluarkan kenyataan memfitnah dalam empat rakaman video diterbitan di akaun Instagram, X, dan TikTok atas nama pengguna ‘rafiziramli929’ dan ‘rafiziramli’ milik Ahli Parlimen Pandan itu.
Beliau mendakwa, kenyataan berbaur fitnah itu antara lain menggambarkan dirinya bersekongkol dengan pihak tidak dikenali untuk menyebarkan fitnah terhadap Rafizi, berniat niat jahat dan seorang oportunis dengan bekerjasama dengan pelaku politik sebagai pertukaran untuk bayaran atau manfaat peribadi.
“Kenyataan dibuat oleh defendan dalam video itu adalah fitnah yang merosakkan reputasi saya selain memberi implikasi bahawa saya adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dalam perbincangan mengenai perkara yang mempunyai kepentingan awam,” katanya.
Sehubungan itu, Caprice menuntut daripada Rafizi, ganti rugi khas sebanyak RM10 juta bagi kehilangan pendapatan, ganti rugi am, ganti rugi teladan, ganti rugi teruk, faedah dan kos.
Beliau juga menuntut Rafizi membuat permohonan maaf dan perintah injunksi supaya bekas menteri itu memadamkan video berkenaan daripada platform media sosialnya. – MalaysiaGazette
















