Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan.

 

KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR, Datuk Seri R Ramanan menegaskan beliau tidak pernah mengenali atau berurusan dengan ahli perniagaan, Victor Chin dan menyifatkan dakwaan yang mengaitkannya dengan isu “mafia korporat” sebagai naratif jahat dan tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak pernah kenal Victor Chin, tidak pernah berjumpa, apatah lagi berurusan. Ini adalah satu naratif jahat yang sengaja direka untuk mencemarkan nama saya,” katanya pada sidang media di Sungai Buloh, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh serta Menteri Sumber Manusia (Kesuma) turut menolak dakwaan kononnya menerima bayaran RM9.5 juta seperti yang tular, sambil mempersoalkan asas tuduhan tersebut.

“Bagaimana saya boleh menerima RM9.5 juta daripada seseorang yang saya tidak pernah temui? Tuduhan ini langsung tidak masuk akal,” tegasnya.

Ramanan berkata, cubaan mengaitkan dirinya serta beberapa individu lain dalam dakwaan yang dibangkitkan Victor jelas mempunyai motif politik, termasuk usaha untuk menjejaskan imej PKR, wakil rakyatnya dan kerajaan.

Menurutnya, dakwaan melibatkan pemindahan saham dalam jumlah besar juga tidak logik kerana sebarang transaksi berskala besar pasti berada di bawah pemantauan pihak berkuasa antaranya Suruhanjaya Sekuriti dan Bank Negara Malaysia terutamanya melibat wakil rakyat seperti beliau.

“Kononnya melibatkan ratusan ribu atau berjuta saham dengan nilai yang besar, tetapi tiada sebarang pengesanan atau tindakan. Itu tidak masuk akal. Saya sendiri tidak memiliki sebarang saham awam seperti didakwa,” ujar beliau.

Dalam masa sama, Ramanan mencabar Victor supaya tampil menamakan individu yang dirujuk sebagai “Mr R”, yang didakwa menjadi orang tengah dalam rangkaian mafia korporat berkenaan.

“Jika benar ada ‘Mr R’, nyatakan secara jelas. Jangan lempar tuduhan samar yang hanya mengelirukan rakyat dan mencetuskan persepsi negatif,” katanya lagi.

Beliau turut mendesak Victor supaya pulang ke Malaysia dan memberi kerjasama kepada pihak berkuasa, bukannya terus mengeluarkan kenyataan dari luar negara.

“Kalau benar ada bukti, balik ke Malaysia dan tampil kepada pihak berkuasa. Jangan duduk di luar negara dan mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab seperti ini,” katanya lagi.

Semalam, menerusi dokumen setebal 40 muka surat, Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen PKR yang tidak dinamakan meminta bayaran tunai RM10 juta sebagai balasan untuk menyelesaikan masalah undang-undangnya berkaitan kumpulan yang didakwa sebagai mafia korporat.

Dia turut mendakwa seorang individu lain yang dikenali sebagai ‘Mr R’ bertindak bersama kumpulan berkenaan untuk mengambil alih kawalan NexG Bhd serta pegangan saham berkaitan melalui tekanan dan sekatan terhadap hak pemegang saham.

Bagaimanapun, Ramanan menegaskan, semua dakwaan tersebut tidak berasas dan menyifatkannya sebagai cubaan terancang untuk merosakkan reputasi beliau serta parti.

“Ini bukan sahaja serangan terhadap saya secara peribadi, tetapi cubaan untuk melemahkan keyakinan terhadap parti dan institusi. Saya menafikan sekeras-kerasnya semua tuduhan ini,” katanya. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast