KUALA LUMPUR – Jika benar dakwaan seorang Ahli Parlimen PKR meminta RM10 juta bagi menyelesaikan satu kes korporat, perkara ini mencetuskan persoalan serius terhadap integriti pengurusan kontrak kerajaan, kata Isham Jalil.
Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, perkara itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia dikaitkan dengan agensi penguatkuasaan serta melibatkan pemberian kontrak kerajaan bernilai berbilion ringgit.
“Siapa MP PKR yang minta RM10 juta untuk selesaikan kes korporat mafia?,” soalnya.
Beliau mengulas kenytaan mengejutkan oleh Victor Chin yang mendakwa telah menyerahkan wang sebanyak RM9.5 juta kepada seorang Ahli Parlimen PKR bagi membantu ahli perniagaan itu menyelesaikan isu yang membelenggu beliau berhubung skandal ‘mafia korporat’.
Perkara itu didedahkan Victor menerusi dokumen setebal 40 muka surat yang turut memperincikan kronologi berkaitan isu ‘mafia korporat’ membabitkan Syarikat NexG Berhad.
Isham mendakwa, kes berkenaan melibatkan agensi-agensi penguatkuasaan dan pencegahan rasuah kerajaan, selain mempunyai kaitan dengan pemberian kontrak kerajaan berskala besar.
Beliau turut mempersoalkan implikasi terhadap kewangan negara sekiranya dakwaan itu benar.
“Ke sinilah perginya duit minyak rakyat. Berbillion-billion. Bila duit tidak cukup untuk beri projek, minyak naik lagi,” katanya dalam Facebook hari ini.
Dalam masa sama, beliau turut mengkritik kerjasama politik antara PKR dan DAP.
“PKR dan UMDAP sama-sama nyanyi Hoi Ya Hoi sekarang,” sindirnya lagi.
Isham juga membangkitkan persoalan yang sering ditimbulkan orang ramai berhubung tindakan saksi dalam kes berkenaan.
“Netizen sila tolong jawabkan kepada sesiapa yang tanya soalan kenapa saksi tidak buat laporan SPRM,” katanya lagi. -MalaysiaGazette
Mafia korporat: Victor Chin dakwa serah RM9.5 juta kepada MP PKR
















