[Gambar fail] Antara longgokan sisa sampah elektronik (e-waste) bagi pemprosesan dan pelupusan bahan bahan mentah yang terdapat di kilang yang telah diserbu pada operasi Op X di sekitar Buloh Kasap, Segamat, Johor. Foto MOHD ADZLAN, 24 FEBRUARI 2025.

PUTRAJAYA -Kertas siasatan melibatkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar telah diselesaikan dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan syor untuk pertuduhan.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki dalam satu kenyataan hari ini.

“SPRM sedang menunggu pelaksanaan pertuduhan oleh AGC ke atas kedua-dua pegawai kanan JAS berkenaan dalam masa terdekat,” kata beliau.

Menurut beliau, kertas siasatan terhadap Ketua Pengarah JAS telah dibentangkan pada 26 Februari 2026, manakala bagi Timbalan Ketua Pengarah JAS pada 6 Mac 2026.

Tambahnya, isu pengurusan e-waste dan sisa plastik merupakan antara cabaran yang telah lama dihadapi, khususnya di kawasan yang terkesan dengan aktiviti pelupusan dan pemprosesan yang tidak teratur.

Aduan berkaitan pencemaran udara, air dan tanah turut memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk setempat, sekali gus menuntut tindakan bersepadu daripada pelbagai pihak termasuk agensi penguatkuasaan.

“Masalah e-waste dan sisa pepejal plastik sudah lama dihadapi oleh rakyat dan tidak dapat diselesaikan walaupun telah banyak aduan pencemaran. Akhirnya SPRM telah bertindak dengan menyiasat dan menahan mereka yang diamanahkan untuk melindungi alam sekitar,”  ujar beliau lagi.

Azam turut menegaskan bahawa sebarang elemen rasuah boleh memberi implikasi yang lebih luas, termasuk kepada kelestarian alam sekitar serta kesihatan awam.

SPRM telah mengetuai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Import Sisa Plastik dan E-Waste, yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Langkah utama yang diputuskan oleh pasukan petugas khas ialah pengimportan e-waste diharamkan sepenuhnya dan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 mulai 4 Februari 2026.

Penubuhan pasukan petugas ini dibuat susulan penemuan serius berkaitan penyeludupan sisa elektronik, termasuk laporan ratusan kontena e-waste yang tersadai di pelabuhan dan berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Pasukan petugas ini melibatkan 12 agensi termasuk JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (MCBA), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memperkukuh kawalan di pintu masuk negara. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast