KUALA LUMPUR – Naib Presiden PKR Datuk Seri R Ramanan menyifatkan Victor Chin bukan sahaja bukan hero’ malah melabel individu itu sebagai ‘syaitan korporat’ susulan dakwaan berhubung isu mafia korporat yang terus menimbulkan persoalan.
Menteri Sumber Manusia itu mendakwa, Victor sebenarnya membina naratif sebagai mangsa bagi mendapatkan suaka politik di United Kingdom (UK).
Beliau berkata, dakwaan dibuat individu itu dilihat sebagai strategi untuk mengelak tindakan undang-undang dengan menyalahkan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan.
“Ini adalah strategi untuk menggambarkan dirinya sebagai mangsa supaya dia boleh mendapatkan suaka politik di United Kingdom.
“Dia salahkan UMNO, dia salahkan SPRM, dia salahkan Bank Negara, dia salahkan polis, dia menyalahkan semua,” katanya hari ini.
Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menambah, corak tuduhan yang berubah-ubah serta menyasarkan pelbagai pihak termasuk institusi negara menjejaskan kredibiliti individu berkenaan.
“Setiap hari cerita berbeza. Kenapa kita perlu beri kredibiliti kepada individu seperti ini?,” soalnya.
Katanya, tindakan menyalahkan pelbagai pihak secara serentak termasuk agensi penguatkuasaan dan institusi kewangan hanya menimbulkan keraguan terhadap niat sebenar di sebalik dakwaan tersebut.
Dalam masa sama, beliau menegaskan naratif yang cuba dibina tidak wajar dilihat sebagai pendedahan berani.
“Victor ini bukan hero. Dia adalah syaitan korporat. Jangan cuba wujudkan persepsi kononnya dia tampil untuk menegakkan kebenaran,” katanya.
Menurut Ramanan, dakwaan serius seperti itu tidak boleh dibiarkan tanpa penjelasan kerana boleh menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Beliau turut menegaskan Malaysia adalah negara berlandaskan undang-undang dan sebarang dakwaan perlu disokong bukti yang kukuh.
“Kalau benar, buktikan. Jangan sekadar lontar tuduhan yang mencetuskan kekeliruan,” katanya.
Ramanan dalam masa sama mencabar pihak yang membuat dakwaan supaya menamakan individu yang dimaksudkan secara jelas, bukannya bermain dengan persepsi umum.
“Kalau ada tuduhan, nyatakan nama saya depan-depan dengan bukti jika tidak saya saman. Jangan biarkan ruang spekulasi,” katanya. -MalaysiaGazette















