Karoline Leavitt

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan “melepaskan kemarahan dahsyat” jika Iran enggan mencapai perjanjian berhubung perang berterusan antara Amerika Syarikat dan Israel, kata Setiausaha Akhbar White House, Karoline Leavitt.

“Presiden Trump tidak menggertak dan beliau bersedia untuk melepaskan kemarahan. Sebarang keganasan selepas ini akan berpunca dari Iran yang enggan menerima bahawa mereka telah pun tewas dan enggan mencapai perjanjian,” katanya dalam sidang media di White House.

Leavitt bagaimanapun enggan mendedahkan pihak yang sedang dirunding oleh Washington berhubung cara menamatkan perang dengan Iran.

“Kami tidak akan mendedahkan butiran rundingan dan perbincangan yang masih berlangsung kerana, seperti yang boleh dibayangkan, ia adalah perbincangan diplomatik yang sangat sensitif,” katanya menurut laporan Xinhua.

Menurut Leavitt, perang yang tercetus pada 28 Februari itu dijangka berlanjutan antara empat hingga enam minggu.

Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei dalam temu bual eksklusif bersama India Today pada Rabu menegaskan tiada sebarang rundingan atau perbincangan antara Iran dan Amerika Syarikat.

“Tiada siapa boleh mempercayai diplomasi Amerika Syarikat,” kata Baghaei, sambil menyatakan Iran mempunyai pengalaman yang sangat buruk dengan diplomasi AS, termasuk serangan AS ketika rundingan berkaitan isu nuklear sebelum ini.

Sementara itu, jurucakap markas utama tentera Iran, Khatam al-Anbiya Central Headquarters, Ebrahim Zolfaghari berkata Amerika Syarikat sebenarnya “berunding dengan dirinya sendiri” akibat konflik dalaman.

Beliau menggesa Amerika Syarikat berhenti menyamarkan kekalahan sebagai “perjanjian”, sambil menambah bahawa “kuasa strategik yang dibanggakan musuh kini telah bertukar menjadi kekalahan strategik”. – Agensi

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast