KUALA LUMPUR – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin membangkitkan persoalan mengenai konsistensi dan kredibiliti dalam polemik membabitkan dakwaan kes mafia korporat yang kini menjadi perhatian umum.
Menurut beliau, wujud percanggahan jelas apabila individu yang sama pada awalnya mempertahankan individu bernama Victor Chin sebagai ‘kambing hitam”’ namun kemudiannya dilihat menerima dakwaan terhadap individu berkenaan tanpa persoalan.
“Jika benar Victor hanyalah kambing hitam, maka beliau adalah mangsa. Tetapi mengapa timbul dakwaan bahawa beliau perlu ‘kawtim’ atau memberi rasuah untuk menyelesaikan kes?
“Jika tidak bersalah, mengapa perlu ada unsur sedemikian? Ini memerlukan penjelasan yang telus, bukan sekadar andaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Danish turut mengingatkan sebarang dakwaan serius tidak boleh diterima tanpa melalui proses pembuktian yang sewajarnya.
Katanya, dalam sistem berlandaskan undang-undang, beban pembuktian terletak kepada pihak yang membuat tuduhan dan bukan dibentuk melalui persepsi awam semata-mata.
“Tuduhan tanpa bukti yang disahkan tidak boleh dijadikan asas untuk membentuk pandangan rakyat,” ujarnya.
Beliau juga menegaskan tindakan segelintir pihak yang dilihat terlalu cepat mempercayai kenyataan daripada individu yang sedang disiasat boleh menimbulkan kekeliruan serta mencetuskan persepsi prejudis.
“Kematangan kepimpinan menuntut sikap berhati-hati, bukan tergesa-gesa mengesahkan sesuatu yang belum terbukti,” tambah beliau.
Sehubungan itu, beliau menggesa semua pihak menghentikan spekulasi dan memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan secara bebas serta adil.
“Rakyat memerlukan ketelusan dan fakta yang sahih, bukan naratif yang berubah-ubah. Biarlah kebenaran ditentukan melalui siasatan yang berintegriti,” tegasnya. – MalaysiaGazette















