Bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan kira-kira empat jam sebelum ditemui, dijumpai dalam tong sampah di hadapan sebuah rumah di Taman Putra Ampang.

KUALA LUMPUR – Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan kira-kira empat jam sebelum ditemui, dijumpai dalam tong sampah di hadapan sebuah rumah di Taman Putra Ampang, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Khairul Anuar Khalid berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki tempatan berhubung penemuan bayi itu kira-kira jam 6.27 petang.

“Pengadu memaklumkan telah menemui seorang bayi perempuan ditinggalkan di dalam tong sampah di hadapan rumahnya.

“Bayi tersebut dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh sekitar empat jam sebelum ditemui, memandangkan masih bertali pusat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan awal mendapati bayi berkenaan berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Beliau berkata, bayi itu kemudiannya dibawa ke Hospital Ampang untuk rawatan serta pemantauan lanjut oleh pihak perubatan.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana kesalahan membuang atau mendedahkan kanak-kanak.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” tegas beliau.

Sehubungan itu, polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast