KUALA LUMPUR – Kerajaan mempergiat langkah memastikan bekalan baja negara kekal stabil susulan sekatan eksport global yang memberi kesan kepada sektor agri-komoditi.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, Malaysia ketika ini mengimport antara empat hingga lima juta tan baja setiap tahun dengan nilai pasaran melebihi RM5 bilion.
Beliau berkata, bagi memastikan kesinambungan bekalan dalam tempoh terdekat, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) memperluas sumber import melalui rundingan strategik dengan negara pembekal sedia ada dan baharu.
Katanya, kementerian juga sedang mengaktifkan saluran bekalan alternatif dalam tempoh tiga hingga enam bulan bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan.
“KPK turut memastikan harga bekalan kekal kompetitif bagi mengelakkan tekanan kepada pemain industri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, langkah itu penting bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber selain meningkatkan ketahanan rantaian bekalan negara dalam menghadapi ketidaktentuan global.
Dalam pada itu, Noraini berkata, kerajaan melalui Belanjawan 2026 menyediakan peruntukan dalam bentuk geran dan pinjaman mudah di bawah TSPKS 2.0.
“Skim ini dirangka secara holistik termasuk pembiayaan kos baja untuk pokok dalam tempoh tidak matang iaitu dari tahun pertama hingga tahun ketiga,” katanya.
Dalam pada itu kerajaan juga mempercepatkan transformasi struktur industri melalui penggunaan baja berasaskan biojisim, biogas dan biochar.
Usaha itu turut disokong dengan pengukuhan amalan ekonomi kitaran dalam sektor perladangan bagi mengurangkan kebergantungan kepada baja kimia import dalam jangka panjang.
“Pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kesuburan tanah dan hasil tanaman, malah mengurangkan pendedahan negara kepada ketidaktentuan pasaran global,” ujarnya.
Noraini berkata, KPK juga telah memulakan libat urus bersama pengeluar baja tempatan bagi mengutamakan bekalan untuk pasaran domestik.
Langkah itu bertujuan menstabilkan harga melalui pengeluaran tempatan selain meningkatkan kapasiti jangka sederhana industri baja negara.
Beliau menegaskan, kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi dan mengambil langkah proaktif bagi melindungi kepentingan negara.
“Keutamaan kerajaan adalah memastikan bekalan baja mencukupi, melindungi pekebun kecil serta menjamin sektor agri-komoditi negara terus kukuh dan berdaya tahan,” katanya.
Tambah beliau, langkah-langkah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan untuk menjamin keselamatan bekalan input pertanian serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara. -MalaysiaGazette
















