KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menyambut baik keputusan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC untuk terus kekal dalam gabungan itu, yang disifatkan sebagai langkah jelas, tegas dan berpandangan jauh.
Setiausaha Agung BN, Zambry Abd Kadir berkata, keputusan tersebut bukan sahaja mencerminkan pendirian politik semasa, malah berakar daripada sejarah panjang kerjasama sejak era Perikatan (1955–1973), dan kemudiannya diperkukuh melalui Barisan Nasional (1974 hingga kini).
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, gabungan itu telah melalui pelbagai cabaran termasuk isu perkauman, tekanan politik dan perubahan landskap negara namun kekal bertahan berasaskan kepercayaan, kesetiaan serta tanggungjawab bersama.
Beliau berkata, keputusan MIC untuk kekal dalam BN juga mempunyai justifikasi kukuh, terutama dalam memastikan kestabilan dan kesinambungan politik ketika negara berdepan situasi yang semakin tidak menentu.
“Rakyat memerlukan platform yang stabil dan berpengalaman. BN telah membuktikan kemampuannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan parti itu akan kekal dalam BN buat masa ini, namun masih berteka-teki mengenai kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) pada masa hadapan.
Tambah beliau, kekuatan BN sebagai gabungan pelbagai kaum juga menjadi faktor penting dalam mengekalkan keharmonian sosial di negara ini.
“BN bukan sekadar gabungan parti, tetapi model kerjasama antara kaum yang telah diuji oleh masa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan BN terus berusaha memperbaharui diri melalui proses penstrukturan semula dan pengukuhan organisasi agar lebih responsif terhadap kehendak rakyat.
Mengulas lanjut, Zambry berkata, keputusan MIC itu turut menghantar isyarat jelas dalam menolak politik perpecahan serta menegaskan kepentingan prinsip kebersamaan dalam landskap politik semasa.
“Selagi semangat kesatuan ini dipertahankan dengan jujur dan ikhlas, sebarang cubaan untuk melemahkan gabungan ini dapat ditangani dengan bijaksana,” ujarnya.
Beliau menambah, keputusan tersebut bukan sahaja penting untuk masa kini, malah menjadi asas kepada masa depan politik negara yang berteraskan kesatuan, kesederhanaan dan tanggungjawab dalam membina Malaysia yang lebih stabil dan sejahtera. – MalaysiaGazette
Keputusan MIC untuk terus kekal bersama Barisan Nasional (BN) dilihat sebagai langkah tegas yang mencerminkan kesetiaan serta kematangan politik dalam landskap semasa yang kian mencabar.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC yang bermesyuarat semalam atas keputusan berkenaan.
Menurut beliau, langkah itu bukan sekadar pendirian politik semasa, sebaliknya mencerminkan akar sejarah panjang kerjasama sejak era Perikatan sebelum diperkukuh melalui BN.
“Keputusan ini bukan sekadar satu pendirian politik semasa, tetapi merupakan cerminan kepada akar sejarah dan semangat perjuangan yang telah lama terbina sejak era Perikatan (1955–1973), dan kemudiannya diperkukuh melalui Barisan Nasional (1974 hingga kini),” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.
Semalam, Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan memaklumkan parti itu akan kekal dalam BN buat masa ini, namun masih berteka-teki mengenai kemungkinan menyertai Perikatan Nasional (PN) pada masa hadapan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mengumumkan MIC telah menyertai gabungan tersebut, namun dakwaan itu ditolak oleh Saravanan.
Isu kemungkinan MIC meninggalkan BN telah lama menjadi perbincangan, khususnya selepas perhimpunan agung parti pada November lalu yang memberi mandat kepada kepimpinan mempertimbangkan langkah tersebut susulan rasa tidak puas hati terhadap peranan dan relevan parti.
Dalam pada itu, Zambry menegaskan BN telah melalui pelbagai ujian termasuk cabaran perkauman, tekanan politik serta perubahan landskap nasional, namun terus bertahan berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab bersama.
“Dalam keadaan politik yang semakin berpecah dan tidak menentu, rakyat memerlukan satu platform yang stabil dan berpengalaman. BN telah membuktikan kemampuannya mentadbir negara secara inklusif dan pragmatik, menjadikannya satu wadah yang masih relevan,” katanya.
Beliau turut menekankan kekuatan muafakat pelbagai kaum sebagai asas penting keharmonian negara, selain menegaskan BN sedang melalui proses penstrukturan semula agar lebih responsif kepada kehendak rakyat.
“BN bukan sekadar gabungan parti, tetapi satu model kerjasama antara kaum yang telah diuji oleh masa. Dalam konteks Malaysia yang majmuk, kekuatan ini amat penting untuk memastikan keharmonian sosial terus terpelihara.
“Walaupun diuji dengan pelbagai cabaran, BN tidak statik. Ia sedang melalui proses penstrukturan semula, memperkukuh organisasi dan memperbaharui pendekatan agar lebih responsif kepada kehendak rakyat masa kini,” tambah beliau.
Mengulas lanjut, beliau berkata keputusan itu turut menghantar mesej jelas menolak politik perpecahan serta menegaskan prinsip kebersamaan tidak boleh digadai demi kepentingan jangka pendek.
“Dalam suasana di mana terdapat usaha untuk memecah-belahkan kesatuan sedia ada, keputusan ini menghantar isyarat jelas bahawa prinsip kebersamaan dan solidariti tidak boleh digadai demi kepentingan jangka pendek,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















