Ibrahim Ali.

KUALA LUMPUR –  Kenaikan diesel kepada RM5.52 bukan soal teknikal, ia tanda kerajaan sudah hilang arah dalam mengurus negara.

Presiden Putra, Datuk Ibrahim Ali berkata, Malaysia ialah negara pengeksport minyak dan bila harga minyak dunia naik, negara untung dan itu fakta yang tidak boleh diputar.

“Tetapi hari ini berlaku keadaan yang songsang. Negara untung, rakyat pula ditekan dan disuruh berjimat. Ini bukan ekonomi. Ini salah urus.

“Kerajaan bercakap tentang “pengurangan beban fiskal”. Hakikatnya mudah, beban itu hanya dipindahkan ke bahu rakyat. Bila kerajaan tidak tahu mengurus, rakyat akan dijadikan mangsa. Itulah yang sedang berlaku hari ini,” katanya dalam kenyataan merujuk kenaikan harga bahan bakar itu.

Menurut Ibrahim yang dikenali Tok Him, diesel bukan barang mewah. Diesel ialah nadi ekonomi rakyat, lori angkut makanan, bot nelayan, mesin petani, semuanya bergantung kepada diesel.

“Bila diesel naik, harga barang naik. Bila harga barang naik, dapur rakyat terhimpit. Ini bukan teori. Ini realiti harian. Kerajaan mungkin berjaya mencantikkan angka di atas kertas tetapi di bawah, rakyat semakin sesak. Menyelamatkan angka dengan mengorbankan rakyat bukan kepimpinan.

Justeru Putra mencadangkan satu dasar jelas, gunakan lebihan hasil minyak untuk melindungi rakyat melalui Windfall Allocation Rule sekurang-kurangnya 30% disalurkan kepada penstabilan harga diesel.

“Subsidi mesti bersasar kepada sektor yang menggerakkan ekonomi rakyat seperti logistik makanan, petani, nelayan dan perusahaan kecil, dengan kawalan ketat melalui sistem kad, kuota dan pemantauan digital bagi menghentikan ketirisan.

“Kerajaan juga mesti menetapkan julat harga diesel yang stabil supaya rakyat tidak terus terdedah kepada kejutan pasaran global setiap kali harga berubah.

“Jika kerajaan kata tidak mampu, itu bermakna mereka tidak tahu mengurus kekayaan negara.Ini namanya kerajaan BANGANG seperti kata seorang manusia bernama Anwar sewaktu menjadi pembangkang dulu. Rupanya dulu cakap auta.

“Rakyat mungkin diam, tetapi mereka melihat. Bila ibu terpaksa kurangkan makanan anak kerana harga naik, itu kegagalan yang tidak boleh disembunyikan. Sejarah membuktikan, kerajaan jatuh bukan kerana angka, tetapi kerana hilangnya kepercayaan.

“Kerajaan yang gagal akan cari alasan. Kerajaan yang berani akan lindungi rakyat. Hari ini rakyat sudah nampak kerajaan ini di pihak siapa,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast