Oleh: Dr Ridzwan Ahmad
DALAM struktur masyarakat Muslim, institusi keluarga bukan sekadar unit sosial, tetapi juga medan pelaksanaan hukum dan nilai syariah secara praktikal. Salah satu isu yang sering dianggap kecil tetapi sebenarnya membawa implikasi besar ialah penggunaan duit raya anak oleh ibu bapa. Walaupun ia berlaku secara meluas dan sering dianggap tidak menimbulkan masalah, realitinya isu ini perlu dinilai secara lebih serius melalui kerangka syariah yang sahih dan disiplin fiqh yang jelas.
Prinsip asas dalam Islam menetapkan harta adalah milik individu yang sah, termasuk kanak-kanak. Harta yang diberikan kepada kanak-kanak melalui hibah seperti duit raya adalah milik mereka sepenuhnya dari sudut syarak. Ia tidak berpindah milik kepada ibu bapa secara automatik, melainkan melalui proses yang sah dan jelas. Justeru, sebarang penggunaan harta tersebut tanpa keperluan yang dibenarkan atau tanpa maslahat yang jelas boleh dikategorikan sebagai satu bentuk pelanggaran terhadap amanah.
Al-Qur’an telah meletakkan asas larangan yang tegas terhadap pengambilan harta secara tidak sah. Dalam Surah al-Baqarah ayat 188, Allah SWT melarang memakan harta sesama manusia dengan cara yang batil. Prinsip ini tidak terhad bahkan merangkumi memakan harta milik anak walaupun darah daging sendiri.. Ini menunjukkan bahawa hubungan kekeluargaan tidak boleh dijadikan alasan untuk menghalalkan sesuatu yang secara asasnya dilarang.
Dalam perbahasan fiqh, ulama telah memberi perhatian khusus terhadap kedudukan wali terhadap harta anak. Dalam konteks ini, bapa sebagai wali mempunyai tanggungjawab untuk menjaga harta anak, bukan memilikinya secara mutlak. Dalam hal ini para ulama menegaskan bahawa peranan wali adalah sebagai pemegang amanah yang bertanggungjawab memastikan harta tersebut digunakan untuk kebaikan anak, bukan untuk kepentingan peribadi tanpa batas.
Imam al-Mawardī dalam al-Ahkam al-Sultaniyyah menjelaskan wali dibenarkan untuk mengurus harta anak dengan syarat terdapat maslahah yang jelas dan tidak membawa kemudaratan kepada anak tersebut. Ini menunjukkan setiap tindakan penggunaan harta anak mesti berpandukan kepada prinsip maslahah, bukan sekadar kehendak atau keperluan yang tidak terhad secara sewenangnya.
Pandangan ini turut diperincikan oleh Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’. Beliau menegaskan wali tidak boleh menggunakan harta anak kecuali dalam keadaan yang diizinkan syarak. Bahkan, beliau menyatakan sebarang penggunaan tanpa keperluan yang sah boleh membawa kepada tanggungjawab di sisi Allah. Ini memberikan gambaran bahawa syariah sangat menitikberatkan aspek amanah dalam pengurusan harta, termasuk dalam konteks keluarga.
Sementara itu, Ibn Qudamah dalam al-Mughni juga menegaskan seorang bapa tidak boleh mengambil harta anaknya secara mutlak tanpa keperluan. Beliau menyatakan bahawa walaupun terdapat kelonggaran tertentu bagi bapa dalam situasi tertentu, ia tidak bermaksud memberi lesen untuk mengambil harta anak secara bebas. Sebaliknya, ia terikat dengan syarat-syarat yang ketat, termasuk tidak memudaratkan anak dan tidak menggunakan harta tersebut untuk kepentingan yang tidak wajar.
Dalam konteks maqasid syariah, isu ini berkait rapat dengan pemeliharaan harta (hifz al-mal), yang merupakan salah satu daripada lima objektif utama Syariah (kulliyyat al-khams). Pemeliharaan ini bukan hanya dalam bentuk melindungi harta daripada kecurian, tetapi juga melibatkan pengurusan harta secara adil, berhemah dan berintegriti demi keredaan Allah SWT.. Apabila harta anak diambil tanpa keperluan yang sah, ia bercanggah dengan objektif utama syariat Islam.
Lebih jauh, normalisasi pengambilan harta anak tanpa batas boleh memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan nilai dalam masyarakat. Anak yang membesar dalam persekitaran yang menormalisasikan hak mereka tidak dihormati mungkin akan membentuk persepsi yang salah terhadap konsep keadilan dan pemilikan. Akibatnya, ia membawa kepada masalah yang lebih besar dalam struktur sosial, termasuk sikap tidak menghormati hak orang lain.
Dari sudut pendidikan Islam, ibu bapa bukan sekadar penjaga, tetapi juga pendidik utama dalam membentuk akhlak dan kefahaman anak. Oleh itu, memelihara hak anak bukan sahaja tuntutan syarak, tetapi juga satu bentuk pendidikan yang praktikal. Anak perlu diajar dan dididik bahawa harta mereka adalah amanah, dan amanah itu perlu dihormati dan dipelihara.
Walau bagaimanapun, syariah tidak bersifat rigid tanpa fleksibiliti. Dalam situasi tertentu, seperti keperluan kewangan keluarga yang mendesak, penggunaan harta anak boleh dipertimbangkan dengan syarat terdapat keperluan yang sah dan tidak menzalimi anak. Prinsip ini menunjukkan bahawa syariah mengimbangi antara hak individu dan keperluan kolektif, tetapi dalam kerangka yang tetap menjaga keadilan.
Dalam situasi ini, pendekatan yang lebih tepat ialah membina kesedaran dalam kalangan ibu bapa tentang konsep amanah dalam pengurusan harta anak. Ibu bapa perlu sedar bahawa mereka bukan pemilik mutlak harta anak, tetapi hanya penjaga yang bertanggungjawab. Ini memerlukan perubahan paradigma dalam masyarakat, daripada melihat harta anak sebagai “boleh digunakan” atas alasan yang kewangan tertentu kepada “perlu dipelihara” berlandaskan amanah Ilahi.
Dalam konteks semasa, isu ini tidak boleh dianggap remeh kerana ia melibatkan prinsip asas dalam Islam. Walaupun ia kelihatan kecil, tetapi apabila diabaikan, ia boleh membawa kepada kerosakan yang lebih besar dalam aspek keadilan dan integriti keluarga. Justeru, pendekatan yang lebih tegas dan berasaskan ilmu perlu diambil dalam menangani isu ini.
Kesimpulannya, duit raya anak bukan sekadar isu kewangan kecil, tetapi melibatkan prinsip hak, amanah dan tanggungjawab yang besar dalam Islam. Dalil al-Quran, pandangan ulama seperti al-Nawawi, Ibn Qudamah, dan al-Mawardi, semuanya menegaskan bahawa harta anak adalah amanah yang perlu dipelihara dengan penuh keadilan. Sebarang pelanggaran terhadap prinsip ini bukan sahaja memberi implikasi duniawi, tetapi juga akan dipersoalkan di akhirat. Oleh itu, kesedaran terhadap batas syariah dalam hal ini perlu diperkukuh agar masyarakat dapat membina keluarga yang lebih berintegriti dan
selari dengan tuntutan Islam. Seorang bapa yang bertakwa akan melihat setiap sen duit raya anaknya sebagai satu ujian integriti: adakah dia menjadi pelindung harta anaknya, atau dia yang menjadi ‘makhuk halus’ yang ‘mencuri’di dalam rumahnya sendiri? Marilah kita menjadi bapa yang amanah, demi mencapai keberkatan rezeki dan keredaan Allah dalam memimpin keluarga yang sa’adah di dunia hingga ke Jannah. Wa Allah a’lam..
Penulis dari Jabatan Fiqh-Usul Dan Sains Gunaan, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya
















