KUALA LUMPUR – Ketua Armada Bersatu Malaysia, Hilman Idham menyifatkan kenaikan harga minyak sebagai langkah yang menekan rakyat dan menuntut kerajaan segera tampil memberi penjelasan telus.
Beliau berkata, kenaikan itu bukan sekadar pelarasan harga, sebaliknya akan memberi kesan rantaian kepada kos sara hidup termasuk harga makanan, pengangkutan dan barangan keperluan asas.
“Ia juga berpotensi memacu inflasi serta menjejaskan kuasa beli rakyat, khususnya golongan B40 dan M40 yang masih bergelut dengan tekanan ekonomi pasca pandemik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Hilman, kerajaan juga dilihat gagal memberikan penjelasan yang meyakinkan berhubung rasional kenaikan tersebut walaupun sebelum ini lantang memperjuangkan penurunan harga minyak.
Beliau turut mempersoalkan sama ada kenaikan itu berpunca daripada konflik di Asia Barat serta implikasinya terhadap pendapatan negara, khususnya melalui Petroliam Nasional Berhad (Petronas).
“Apakah unjuran pendapatan Petronas sekiranya konflik berterusan dan mengapa perkara ini tidak diperjelaskan kepada rakyat?,” soalnya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan tidak boleh terus mengharapkan rakyat berkorban tanpa memberikan gambaran jelas mengenai hala tuju subsidi serta langkah perlindungan yang konkrit.
Hilman turut menyuarakan kebimbangan terhadap laporan mengenai kemungkinan pengurangan kuota subsidi RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter.
“Jika benar, ini merupakan satu malapetaka kepada rakyat,” katanya.
Beliau juga menggesa kerajaan menyediakan pelan menyeluruh bagi mengawal dan menstabilkan harga diesel yang memberi kesan langsung kepada rantaian bekalan dan logistik.
Selain itu, beliau mempersoalkan sama ada semua ruang penjimatan dalam pengurusan kewangan negara telah diteroka sepenuhnya, termasuk usaha menangani ketirisan dan pembaziran.
“Mengapa rakyat perlu dibebankan terlebih dahulu sedangkan isu ketirisan masih belum diselesaikan sepenuhnya?” katanya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerajaan perlu segera tampil memberi penjelasan dan mengambil tanggungjawab penuh terhadap kenaikan harga minyak tersebut. -MalaysiaGazette
















