CYBERJAYA – Program literasi kebangsaan Kota Baca 2026 akan berlangsung dari 23 hingga 26 April ini di Dataran Merdeka dengan sasaran 100,000 orang pengunjung.
Perbadanan Kota Buku (PKB) dalam satu kenyataan memaklumkan, program sempena Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia itu dianjurkan secara hibrid melibatkan pelbagai aktiviti fizikal dan dalam talian.
Kota Baca 2026 merupakan inisiatif bagi memperkukuh budaya membaca dalam kalangan masyarakat selaras dengan aspirasi Malaysia Madani serta dasar pendidikan negara.
Sepanjang penganjuran, pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk sesi bersama penulis, jualan buku, pameran, konsert buku serta program komuniti yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat.
Selain itu, kempen membaca secara digital turut dilaksanakan dari 26 Mac hingga 26 April menerusi platform TikTok.
Pada 23 April, pelancaran Papan Pemuka Peta Malaysia Membaca serta program Jom Baca Bersama turut dijadual berlangsung sempena sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia.
Dataran Merdeka pula akan menjadi lokasi utama bermula 24 hingga 26 April dengan pelbagai pengisian termasuk acara interaktif, jualan buku dan aktiviti komuniti. – MalaysiaGazette
















